Jose Almir Neto (kanan) ketika aksi bertemu Selangor II, Sabtu lalu. FOTO Bernama
Jose Almir Neto (kanan) ketika aksi bertemu Selangor II, Sabtu lalu. FOTO Bernama
Mohd Amin Jalil


SKUAD Negeri Sembilan bakal berhadapan tugas berat apabila turun menentang Perak II dalam saingan Liga Perdana di Stadium Manjung, malam esok.

Ini diakui ketua jurulatih, Sazali Saidun, berikutan beberapa pemain utama pasukan itu mengalami kecederaan ketika menentang Pulau Pinang di tempat lawan dan Selangor II, di gelanggang sendiri, sebelum ini.

"Persiapan kita menentang Perak II sedikit terganggu apabila beberapa pemain utama antaranya Norhafiz Zamani Misbah, Mohamad Shahrom Kalam dan Jose Almir Neto, kurang cergas.

"Norhafiz mungkin tidak dapat diturunkan kerana kecederaan dialaminya serius, namun Shahrom dan Almir belum pasti, malah jika diturunkan pun, belum tentu boleh beraksi untuk 90 minit perlawanan.

"Pemain yang sedia ada perlu bersedia dari segi mental dan fizikal kerana perlawanan menentang Perak II bukan mudah kerana pasukan lawan itu dibarisi ramai pemain muda tetapi ada kalangan mereka berpengalaman di pentas antarabangsa," katanya.

Sazali berkata, beliau sudah mengenal pasti beberapa pemain yang boleh menggalas tanggungjawab terutama di bahagian tengah seperti Shahurain Abu Samah, Muhammad Asraf Roslan dan Mohamad Aiman Khalidi.

"Manakala Mohd Fauzi (Abdul Latif) dan Muhammad Nazrul (Kamaruzaman) mungkin akan diberikan peranan di barisan hadapan untuk membantu Igor Luiz, jika Almir tidak dapat diturunkan," katanya.

Pengendali berasal dari Johor itu berkata, beliau mengingatkan anak buahnya perlu sentiasa berwaspada dan tidak boleh terlalu yakin untuk menang kerana sebarang keputusan di luar dugaan boleh berlaku apabila beraksi di gelanggang lawan.

Negeri Sembilan ketika ini menduduki tangga ke tujuh carta liga dengan sembilan mata dan jauh ketinggalan dengan pendahulu, Pulau Pinang yang mengumpul 17 mata daripada tujuh perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 6:58 PM