KHAIRY Jamaluddin pada sidang media selepas dipilih sebagai Presiden PLBNS. FOTO MOHD AMIN JALIL.
KHAIRY Jamaluddin pada sidang media selepas dipilih sebagai Presiden PLBNS. FOTO MOHD AMIN JALIL.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyambut baik hasrat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengadakan sesi libat urus berhubung garis panduan dan etika yang perlu diikuti penunggang basikal di negara ini.

Beliau yang baharu dipilih Presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) berkata, sesi libat urus itu penting terutama membabitkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), kelab dan komuniti berbasikal.

"Usaha KBS itu adalah langkah tepat supaya sukan berbasikal yang semakin rancak berkembang ketika ini tidak mendatangkan masalah serta membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

"Satu garis panduan dan etika berbasikal perlu diadakan supaya dengan etika tersebut setiap orang yang hendak guna jalan raya untuk berbasikal tahu apakah etika untuk berbasikal," katanya.

"Sebahagian besar daripada penunggang basikal memahami etika tetapi ada juga yang baharu dan mungkin degil tidak mematuhi etika, itu bukan sahaja menyusahkan orang lain tetapi menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas dipilih sebagai Presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) pada mesyuarat agong persatuan itu, di Kelab d'tempat Bandar Seri Sendayan, di sini, petang semalam.

Hadir sama, Timbalan Presiden PLBNS, Yunus Ibrahim dan mantan Presiden PLBNS, Datuk Bahrin Mohamed.

Dalam laporan media Jumaat lalu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican melahirkan sikap terbuka dengan sebarang cadangan bagi memastikan aktiviti berbasikal dijalankan secara selamat.

Reezal Merican berkata, pihaknya akan mengadakan sesi libat urus dengan komuniti berbasikal serta pihak berkuasa bertanggungjawab bagi mendapatkan pandangan.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berharap setiap penguatkuasaan yang mahu dilaksanakan pihak berkuasa berkaitan tidak begitu ketat sehingga boleh menghalang pembangunan sukan basikal.

"Kami tidak mahu peraturan yang terlalu ketat kerana ini boleh menghalang sukan berbasikal tetapi pada masa yang sama, saya sebagai pengguna jalan raya juga memahami bahawa jalan raya ini adalah tempat yang ada undang-undangnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 7:08 PM