AKSI Selangor dan JDT di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Selangor
AKSI Selangor dan JDT di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Selangor
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Salah saya. Itu reaksi pengendali Selangor, B Sathiananthan selepas pasukan bimbingannya dibaham Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-6 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Beliau yang jelas sugul dengan kekalahan teruk itu menegaskan terpaksa telan dengan keputusan itu sambil berpendapat silap percaturan juga menjadi punca tatkala ada beberapa pemain yang belum bersedia untuk diturunkan tetapi berada dalam skuad utama.

"Apabila babak pertama saya terpaksa keluarkan Safuwan (Baharudin) dan memasukkan pemain muda, jelas posisi tengah begitu goyah tanpa Safuwan dan tidak dinafikan aksi babak pertama kita berjaya beraksi dengan baik.

"Namun apabila gol pertama JDT hadir di hujung babak pertama dan disusuli sepakan penalti di awal babak kedua, tak tau lah ...ada orang kata bukan penalti...tapi nak buat macam mana. Bermula dari situ permainan pemain kita mula goyah.

"Malah gol ketiga JDT yang bagi saya mustahil tatkala berada pada sudut yang sukar namun penyerang lawan mampu jaringkan gol. Gol itu bagaikan menjatuhkan lagi semangat kami dan saya akui selepas gol ketiga itu dan sepanjang babak kedua, kami hilang tumpuan dan pasukan JDT kuasai permainan," katanya.

Sathiananthan menegaskan kemasukan Rufino Segovia pada babak kedua dan tidak beraksi dalam kesebelasan adalah berpandukan sesi latihan kerana keutamaan tersenarai dalam skuad utama berdasarkan kesungguhan setiap pemain pada sesi latihan.

Malah beliau juga menganggap jika dirinya ahli silap mata yang mampu kenal pasti pemain mana yang bagus dan mampu beraksi dalam skuad utama, sudah tentu masalah untuk menyenaraikan barisan pemain terbaik tidak timbul.

"Saya pilih pemain untuk di bawa menentang JDT berdasarkan latihan. Melihat kita tidak berfungsi di posisi serangan maka saya memperjudikan nasib memasukkan Rufino. Ingin saya katakan pemain yang bermula awal dan pemain yang masuk sebagai pemain gantian amat berbeza.

"Untuk aksi seterusnya kami akan berdepan UiTM FC, ada baki tiga perlawanan lagi dan harus mengutip mata maksimum. Apa pun saya kena bincang dengan pihak pengurusan bagi membuat persiapan rapi mengharungi baki perlawanan itu," kata Sathiananthan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 7:52 PM