PEMAIN Negeri Sembilan, Muhammad Shahrom Abdul Kalam (kiri) mengasak impory Perak II, Sacha Petshi dalam aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Manjung malam tadi. FOTO Ihsan Facebook Perak TBG
PEMAIN Negeri Sembilan, Muhammad Shahrom Abdul Kalam (kiri) mengasak impory Perak II, Sacha Petshi dalam aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Manjung malam tadi. FOTO Ihsan Facebook Perak TBG
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Pengendali Negeri Sembilan, Sazali Saidun mengakui kurang berpuas hati dengan persembahan anak buahnya pada separuh masa kedua ketika menentang Perak II dalam saingan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, di sini, malam tadi.

Sazali berkata, persembahan skuad Hobin Jang Hobin pada aksi itu kurang menyengat biarpun mereka mencipta beberapa peluang terbaik untuk membawa pulang tiga mata penuh namun gagal menjaringkan gol kemenangan.

"Kami memulakan permainan pada separuh masa pertama dengan baik dan lebih tersusun tetapi separuh masa kedua kami gagal bermain dengan baik terutama bahagian tengah.

"Separuh masa kedua saya tak berapa puas hati dari segi kekemasan hantaran, kita melakukan banyak hantaran tidak kemas membolehkan pasukan Perak II mengatur serangan.

"Perak II menurunkan barisan muda, memang agak sukar bermain dengan pemain muda yang mempunyai kecergasan baik dan melakukan tekanan, apapun bersyukur dapat satu mata," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan yang berkesudahan 0-0, malam tadi.

Jurulatih berasal dari Johor itu turut memuji kapten pasukan, Muhammad Shahrom Abdul Kalam dan tenaga import, Jose Almir Barros Neto yang kurang cergas akibat kecederaan sebelum ini, bermain dan bertahan dengan baik sehingga tamat perlawanan.

"Kita ada baki tiga perlawanan lagi bersama Kuching FA, Kelantan dan Sarawak United. Kita berharap dapat mengutip mata penuh untuk mencerahkan peluang layak ke Piala Malaysia (tempahan slot Liga Super) dan berada dalam kedudukan terbaik Liga Perdana.

"Apabila kita seri hari ini (malam tadi) sedikit sebanyak peluang untuk melayakkan diri ke Liga Super itu kurang cerah tetapi kita tidak berputus asa, harap dengan baki tiga perlawanan dapat mengutip mata penuh," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Perak II, Abu Bakar Fadzim berkata, keputusan seri itu menunjukkan misi menyekat kemaraan dan jentera serangan Negeri Sembilan berhasil.

Katanya, sekadar mengutip satu mata di laman sendiri dan bakal bertemu Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Kuala Lumpur dan UKM FC, ia bukan sesuatu tugas mudah terutama dengan barisan jentera yang terhad, namun dia terus kekal positif.

"Negeri Sembilan turun dengan barisan terkuat mereka, jadi saya terpaksa menutup ruang dua penyerang import dan kiri serta kanan mereka. Saya nampak pemain Perak II berjaya menangani situasi itu.

"Kita tahu jentera Perak II terhad (namun) apa yang ditunjukkan malam ini saya berpuas hati walaupun satu mata, bagi saya kemahuan dan kesungguhan mereka (lagipun) bukan mudah untuk kita menyenaraikan lima pemain bawah 21 tahun termasuk seorang berusia 18 tahun, Muhamad Alif Zikri Zaini Anuar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 8:16 PM