PEMAIN Perlis (jersi kuning) meraikan jaringan ketika aksi bertemu Pulau Pinang dalam saingan Piala Razak hari ini. FOTO Ihsan MHC
PEMAIN Perlis (jersi kuning) meraikan jaringan ketika aksi bertemu Pulau Pinang dalam saingan Piala Razak hari ini. FOTO Ihsan MHC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Isu pengadil bola sepak kini nampaknya turut berjangkit kepada sukan hoki apabila beberapa keputusan pengadil dalam saingan Piala Razak mendapat kecaman pasukan bertanding.

Terbaharu hari ini, aksi membabitkan pasukan Pulau Pinang dan Perlis di Stadium Hoki Bukit Jalil menyaksikan pengadil atau umpire perlawanan membenarkan jaringan pemain Perlis, Mughni Mohamad Kamal di luar kawasan D sebagai jaringan pada minit ke-49 meskipun bola jelas terkena kayu pertahanan lawan.

Gol berkenaan juga adalah gol kemenangan buat Perlis 3-2 yang nyata menghampakan kem Pulau Pinang terutama tindakan pengadil yang mengesahkan jaringan terakhir itu.

Pengurus pasukan, Fahmi Zakariya mengakui kecewa dan berharap isu pengadilan ini dapat perhatian serius penganjur.

"Kami pada awalnya nak buat protes, tapi bila dimaklumkan keputusan pengadil muktamad seperti dalam peraturan kejohanan, kami tidak meneruskan protes dan para pemain bersepakat untuk fokus dan bangkit dalam perlawanan seterusnya"

"Piala Razak ini umpama Piala Malaysia dalam pertandingan bola sepak, jadi janganlah rosakkan permainan hoki ini dengan kesilapan pengadil yang tak sepatutnya.

"Satu mata cukup berharga buat kami tapi bila kalah macam ini ia menyukarkan kami untuk layak ke peringkat seterusnya disebabkan keputusan pengadil yang salah.

"Lebih penting semangat dan motivasi pemain akan luntur disebabkan oleh kesilapan ini," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, Fahmi berharap penggunaan rujukan video (video referral) oleh pengadil perlu digunakan memandangkan setiap aksi kini dirakam oleh stesen televisyen (TV).

"Perlawanan kami ada siaran langsung di TV tapi kenapa umpire tak boleh gunakan video referral.

Macam insiden itu, pengadil boleh buat rujukan kepada video referral untuk lihat kembali bola itu terkena kayu pertahanan atau tidak.

"Tapi bila kami lihat balik jelas sekali bola kena kayu pemain kami dan sepatutnya tak boleh dikira gol kerana percubaan itu dari luar kawasan D," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 8:29 PM