AKSI antara TFC dan UiTM di Shah Alam yang menyaksikan pasukan lawan kalah 1-2. FOTO Ihsan Facebook TFC
AKSI antara TFC dan UiTM di Shah Alam yang menyaksikan pasukan lawan kalah 1-2. FOTO Ihsan Facebook TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kecewa dengan kekalahan mengejut kepada pendatang baharu Liga Super, UiTM FC malam tadi, Kelab Penyokong Bolasepak TFC menggesa barisan jurulatih skuad Terengganu FC (TFC) melakukan bedah siasat ke atas kemerosotan prestasi pasukan.

Malah kekalahan tiga kali berturut-turut jelas membuktikan skuad Penyu itu perlu 'dirawat' bagi memastikan misi untuk menggapai tempat kedua teratas liga menjadi kenyataan.

Presidennya, Mohd Isa Che Ariffin berkata, barisan jurulatih skuad Penyu itu perlu melakukan bedah siasat bagi mengelak pasukan itu terus dirundung malang.

Bagaimanapun beliau berkata, dalam bola sepak apa-apapun boleh berlaku, malah peluang skuad Penyu untuk mengintai kedudukan kedua teratas liga belum tertutup rapat kerana masih mempunyai baki tiga perlawanan lagi.

Menurut Mohd Isa, kelab penyokong percaya dengan kombinasi tiga jurulatih muda yang diketuai Nafuzi Zain, Subri Sulong dan bekas kapten kebangsaan, Rosdi Talib, malah barisan pemain juga tidak kurang hebatnya seperti Lee Tuck, Sanjar Shaakhmedov dan penjaring terbanyak liga setakat ini, Dominique da Sylva.

"Tapi jurulatih perlu melakukan bedah siasat segera selepas merekod tiga kekalahan berturut-turut termasuk kepada UiTM malam tadi yang boleh dikatakan keputusan yang mengejutkan.

"Kami lihat banyak kekurangan terutama daripada segi jentera serangan dan barisan pertahanan TFC tidak seperti mana perlawanan sebelum ini.

"Malah semangat mereka pun nampak kurang sikit selain kerap melakukan kesilapan mudah dan banyak lepaskan peluang yang ada.

"Bagi kami sebelum beraksi dalam tiga perlawanan lagi terutama Jumaat ini bertemu pasukan di tangga tercorot liga PDRM, motivasi tinggi amat diperlukan pemain selain jurulatih dapat lakukan sesuatu untuk melakar kemenangan," katanya.

Pada aksi malam tadi, skuad Penyu tumpas 1-2 kepada pasukan The Lions Troop di Stadium UiTM Shah Alam sekali gus menyukarkan lagi misi pasukan itu untuk mengintai kedudukan dua kelompok teratas liga.

Berdasarkan rekod, hasil daripada lapan perlawanan, skuad itu kini menghuni di tangga keenam liga dengan mengutip 10 mata dan wajib menang dengan baki tiga perlawanan lagi untuk memastikan skuad itu tidak berada di zon penyingkiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 9:31 PM