NASIHIN enggan menyerah sebelum melawan. FOTO Bernama
NASIHIN enggan menyerah sebelum melawan. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Walaupun pengendali baharu pasukan terbabit Mohd Nasihin Nubli Ibrahim sudah mempunyai ramuannya dalam memastikan misi menaikkan kembali skuad itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Bekas penjaga gol yang mewakili negara pada Olimpik 1996 dan 2000 itu berkata, beliau tetap yakin kemampuan pemain wanita sedia ada dan tidak akan melakukan perubahan besar dalam memastikan skuad terbabit lebih mantap.

Enggan menyerah sebelum melawan, Mohd Nasihin sememangnya mahukan cabaran dan sedar bukan tugas mudah untuk mencapai sasaran seperti yang ditetapkan Konfederasi Hoki Malaysia

(MHC).

"Cabaran dan matlamat yang ditetapkan oleh pihak berkaitan itu menjadi azimat kepada saya untuk membuktikan keupayaan dalam meningkatkan kembali skuad hoki wanita.

"Pada masa sekarang, saya akan melihat perkembangan pasukan wanita negara dan kebanyakannya mempunyai keupayaan tersendiri dan pada masa akan melihat juga bakat di peringkat akar umbi yang boleh diketengahkan," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, selepas sembilan bulan menunggu, pasukan hoki wanita kebangsaan akhirnya menerima ketua jurulatiah baharu dengan mengumumkan bekas pemain kebangsaan terbabit mengisi kekosongan jawatan itu.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, penolong jurulatih skuad lelaki itu dipilih selepas ditemu duga bersama tiga calon lain terdiri daripada rakyat tempatan, warga Britain dan Belanda - bagi mengisi jawatan berkenaan secara kontrak selama dua tahun.

Nasihin pernah membimbing Malaysian Tigress selaku ketua jurulatih dari 2011 hingga 2015 yang menyumbang dua pingat emas Sukan SEA termasuk rekod kemenangan 36-0 ke atas Kemboja semasa edisi Sukan SEA Myanmar 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 12:16 AM