MANE meraikan jaringannya. FOTO AFP
MANE meraikan jaringannya. FOTO AFP
AFP

London: Frank Lampard mengakui Chelsea memerlukan masa untuk merapatkan jurang dengan Liverpool di tangga teratas Liga Perdana Inggeris selepas juara bertahan itu menewaskan anak buahnya 2-0.

Sadio Mane menjadi watak utama kepada kemenangan barisan pemain Jurgen Klopp apabila dia menjadi punca Andreas Christensen dilayangkan kad merah pada hujung babak pertama sebelum menjaringkan dua gol dalam tempoh empat minit di awal separuh masa kedua.

Chelsea melabur kira-kira £200 juta (RM1.06 bilion) pada pintu perpindahan pemain untuk cuba merapatkan jurang dengan Liverpool namun keputusan memperkuatkan bahagian serangan berbanding pertahanan menyaksikan Blues lemah di posisi itu.

Lampard menyenaraikan dua pemain yang baharu ditandatanganinya, Timo Werner and Kai Havertz dalam kesebelasan utama manakala Ben Chilwell dan Hakim Ziyech mengalami kecederaan manakala Thiago Silva tidak cergas.

"Setiap pasukan yang mengecapi kejayaan memerlukan masa serta proses dan proses kami bermula daripada sekarang, bukannya tahun lalu," kata Lampard yang gagal mendapatkan pemain baharu pada pintu perpindahan pemain tahun lalu.

"Tahun lalu kami tidak dapat melakukannya, jadi kami berusaha keras untuk menamatkan saingan di kedudukan keempat.

"Objektif dan sasaran kami adalah tinggi tetapi ia memerlukan masa," katanya.

Klopp pula memuji barisan pemainnya yang mempamer aksi konsisten sebelum Christensen dilayangkan kad merah lagi.

"Inilah yang perlu kami pamerkan sepanjang masa. Amat penting untuk kami mempamerkan kemampuan sebenar dan saya dapat menyaksikannya pada perlawanan hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 8:01 AM