POGACAR menyarung jersi kuning selaku juara keseluruhan. FOTO AFP
POGACAR menyarung jersi kuning selaku juara keseluruhan. FOTO AFP
AFP

Paris: Muka baharu dari Slovenia, Tadej Pogacar memenangi saingan Tour de France hanya pada usia 21 tahun.

Pogacar muncul pelumba termuda menjadi juara di saingan berprestij itu sejak 1904 dengan pelumba Ireland, Sam Bennett mengungguli peringkat perlumbaan ke-21 yang juga terakhir serta turut memenangi jersi hijau selaku raja pecut.

Pogacar juga memenangi jersi raja bukit, jersi putih untuk pelumba muda terbaik dan yang paling unggul, jersi kuning untuk juara keseluruhan.

"Saya tak dapat ungkapkan dengan kata-kata ketika ini. Saya melalui tempoh tiga minggu yang amat menakjubkan dengan penyokong sentiasa memberikan sokongan sepanjang perlumbaan," kata Pogacar.

Primoz Roglic yang mendominasi jersi kuning hampir keseluruhan peringkat perlumbaan sebelum ini, menamatkan saingan di tempat kedua manakala pelumba Australia, Richie Porte ketiga.

Pasukan yang diwakili Pogacar, UAE Emirates membawa pulang wang tunai berjumlah 623,930 euro (RM3.04 juta) hasil kemenangannya itu.

Sementara itu Bennett yang memakai jersi hijau pada peringkat perlumbaan terakhir, tetap berbangga dengan pencapaiannya.

"Ia saingan yang sangat sukar tetapi akhirnya berbaloi. Saya masih tidak mempercayainya," katanya yang mengetepikan pemenang tujuh kali, Peter Sagan untuk mengungguli jersi hijau.

Edisi kali ini akan diingati sebagai antara yang paling sengit selepas Pogacar hanya berjaya merampas jersi kuning daripada Roglic pada dua peringkat terakhir selepas Roglic gagal menyerlah dalam cabaran pendakian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 9:13 AM