Barisan pelumba dan pengurusan yang mengambil bahagian dalam kejohanan di Melaka. FOTO Nazri Abu Bakar
Barisan pelumba dan pengurusan yang mengambil bahagian dalam kejohanan di Melaka. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka : Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menyambut baik kehadiran Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dilantik Presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) bagi sesi 2020-2022.

Setiausaha Kehormat PKBM, Datuk Ashakari Abu Noor berkata, pihaknya faham berkaitan minat dan hasrat ditunjukkan Khairy Jamaluddin (KJ) yang memiliki kredibiliti cemerlang dalam sukan termasuk pernah menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan.

Katanya, kerjasama KJ diperlukan untuk bersama-sama bekerja dalam peringkat pentadbiran sebagai ahli majlis badan berkenaan.

Beliau berkata, kepimpinan tertinggi persatuan itu akan diserahkan kepada perwakilan untuk pelantikan jawatankuasa baharu pada 2022 kelak.

"Buat masa ini, kerjasama akan terus diberikan kepada presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab yang memegang jawatan berkenaan sehingga pemilihan yang akan datang.

"Selepas itu, kita serahkan kepada perwakilan membuat keputusan pemilihan jawatankuasa baharu kelak," katanya ketika ditemui pada Kejohanan Berbasikal Kebangsaan di Melaka.

Ashakari gembira sambutan luar jangkaan terhadap penganjuran kejohanan berbasikal membabitkan 230 peserta selama tiga hari itu.

Katanya, walaupun dengan kekangan pergerakan, penjarakan sosial dan normal baharu kejohanan, pihak PBNM berjaya menganjurkannya dengan sokongan semua yang terbabit dengan begitu membanggakan.

Sementara itu, pihak PKBM akan menganjurkan kejohanan BMX di Nilai, Negeri Sembilan pada 7 November ini dan mengalu-alukan pembabitan serta sokongan badan-badan kerajaan dan swasta dalam menjayakan program itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 9:37 PM