Pecutan Khairul Hafiz Jantan (tengah) ketika menyertai kejohanan. FOTO File NSTP
Pecutan Khairul Hafiz Jantan (tengah) ketika menyertai kejohanan. FOTO File NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur : Barisan pelari pecut yang kini berada di bawah bimbingan Pengarah Teknikal Olahraga, Dwayne Miller iaitu Khairul Hafiz Jantan dan Haiqal Hanafi menunjukkan perkembangan positif.

Biarpun prestasi mereka masih belum boleh dinilai namun maklum balas positif yang ditunjukkan oleh kedua-dua atlet itu sangat memuaskan.

Kata Miller, ketika ini tiada apa yang perlu dikejarkan berikutan masih belum ada sebarang kejohanan dalam waktu terdekat dengan temasya Sukan Sea hanya akan berlangsung dalam tempoh setahun lagi.

Justeru adalah lebih baik buat kedua-dua atlet itu menikmati sepenuhnya tempoh latihan dan menyesuaikan diri dengan corak latihan yang baru di bawah pimpinannya.

"Saya gembira dapat mengumpulkan barisan pelari terbaik yang Malaysia ada di sini (Bukit Jalil). Ia lebih mudah untuk saya mengenal pasti kelemahan dan keperluan atlet negara.

"Apa yang perlu saya lakukan ketika ini adalah untuk menjadikan mereka lebih baik dan bersedia apabila perlu menyertai pertandingan bila sampai masanya," katanya.

Miller berkata ketika ini seramai 13 atlet berada di bawah kendaliannya yang mana jurulatih pecut, M Balamurugan menjadi penolongnya dalam memantau latihan atlet.

Ditanya apa yang akan menjadi fokus utamanya kerana masih belum ada sebarang maklumat berhubung jadual pertandingan, Miller berkata, cabaran bagi dirinya kini adalah untuk menjadikan semua atlet negara lebih baik dari segi mental, fizikal dan lebih berdaya saing.

Mengulas mengenai perancangannya dalam membentuk kuartet 4x100 meter negara, Miller berkata, beliau tidak sabar untuk membentuk kuartet terbaik negara kerana yakin barisan pelari negara mampu untuk berlari dengan lebih pantas lagi.

"Perkara ini sering kami bincangkan. Siapa yang akan mengalas tugas pelari pertama, siapa yang akan menjadi pelari keempat. Saya akui ia amat mengujakan dan saya sendiri tidak sabar.

"Saya percaya atlet negara mampu untuk pergi lebih jauh dan lebih pantas. Cuma sekarang ini pastikan diri sentiasa kekal sihat dan terus bercakap satu perkara yang positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 9:44 PM