Penyerang import Kedah, Kpah Sean Sherman (tengah) meledak gol pembukaan berdepan Sabah pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. FOTO Asyraf Hamzah
Penyerang import Kedah, Kpah Sean Sherman (tengah) meledak gol pembukaan berdepan Sabah pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. FOTO Asyraf Hamzah
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur : Kedah terus menghambat pendahulu Liga Super apabila meraih kemenangan 3-1 ke atas Sabah di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Kejayaan memungut tiga mata penuh itu adalah yang keempat berturut-turut untuk menghuni tangga kedua di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT) di puncak liga.

Kedua-dua pasukan kini dibezakan enam mata apabila skuad Lang Merah kini mengumpul 16 mata manakala skuad Harimau Selatan 22 mata.

Begitupun, aksi cemerlang anak buah Aidil Shahrin Sahak banyak berkisar dengan persembahan baik pemain mudanya, Fayadh Zulkifli yang menyumbangkan satu gol selain satu bantuan gol.

Kedah membuka tirai jaringan menerusi tandukan Kpah Sherman yang menyambut baik hantaran Tchetche Kipre pada minit ke-26.

Kedudukan itu tidak kekal lama apabila Sabah berjaya menyamakan kedudukan menerusi pemain import dari Thailand Dennis Buschening seminit kemudian.

Aksi yang sepatutnya berlangsung di Alor Setar namun dipindahkan ke Ibu Kota ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran bagi mengawal penularan Covid-19, menyaksikan permainan lebih rancak di babak kedua.

Kemasukan Fayyadh pada minit ke-69 menggantikan Hadin Azman nyata memberi impak positif apabila hanya memerlukan dua minit untuk melakukan bantuan gol kepada Kipre untuk meletakkan pasukannya kembali di depan pada minit ke-71.

Empat minit kemudian, giliran Fayyad mencetak nama selaku penjaring sekali gus menamatkan saingan dengan 3-1.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 11:27 PM