KHABIB Nurmagomedov. FOTO Agensi
KHABIB Nurmagomedov. FOTO Agensi
Agensi

London: Muhammad Ali dianggap petinju terulung sepanjang zaman manakala Khabib Nurmagomedov dengan rekod kemenangan 28-0 menjadikannya atlet seni bela diri campuran terbaik.

Walaupun kedua-duanya dianggap terbaik dalam disiplin masing-masing, Khabib dari Russia tidak mahu dirinya dibandingkan dengan Ali.

''Saya fikir bandingkan saya dengan Ali tidak tepat. Mungkin kita hanya boleh bercakap mengenai fakta kami adalah juara dan seorang Muslim.

Selain dari itu terutama di luar gelanggang saya tak layak dibandingkan dengannya,'' kata Khabib kepada portal True Gym MMA, semalam.

Ali salah seorang personaliti paling ikonik pada abad ke-20. Juara tiga kali heavyweight itu lantang dalam soal politik dan tidak menyertai Perang Vietnam kerana kepercayaan agamanya.

Namun dia diharamkan daripada sukan tinju selama tiga setengah tahun di atas pendirian tegasnya itu.

''Ketika dia menjadi juara, kaum kulit hitam diberi layanan buruk di Amerika. Dan menurut cerita Ali, dia tidak dilayan di restoran. Dia buang pingat emas Olimpik 1960 dimenanginya.

''Dia benar-benar mengubah sikap terhadap agamanya, jadi kami berdua tidak boleh dibandingkan. Untuk membandingkan saya dengan dia, saya perlu kembali ke zamannya. Menjadi berkulit hitam dan juara.

''Baharulah kita tunggu dan lihat bagaimana saya berdepan situasi itu. Saya suka orang membandingkan kami tapi saya fikir ia tidak sesuai.''

Pertarungan Nurmagomedov selepas ini ialah menentang Justin Gaethje di Abu Dhabi pada 24 Oktober dalam acara utama UFC 254.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 1:17 PM