Pemain Felda United (tengah) meraikan kejayaan menghasilkan gol ketika berdepan Pahang pada perlawanan Liga Super, Ahad lalu. FOTO Bernama
Pemain Felda United (tengah) meraikan kejayaan menghasilkan gol ketika berdepan Pahang pada perlawanan Liga Super, Ahad lalu. FOTO Bernama
Asrol Awang


Kuantan: Pemain tengah Felda United FC, Danial Amier Norhisham tidak mahu kelab itu bergantung kepada ihsan lawan untuk kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

Sebaliknya, Danial Amier atau Boy dan rakan sepasukan akan berusaha untuk mengutip mata maksimum pada baki tiga perlawanan selepas ini.

"Kami akan memastikan baki tiga perlawanan akan memihak kepada Felda United untuk mengesahkan pasukan terus kekal dalam liga musim depan.

"Biarpun bakal berdepan saingan getir apabila bertemu pasukan yang jauh lebih berpengalaman dan mantap, kami perlu lebih bersedia untuk mengutip mata maksimum.

"Kami tidak mahu perkara sama berlaku pada musim lalu apabila pengesahan Felda United kekal dalam Liga Super ditentukan pada perlawanan terakhir liga.

"Bagi musim ini, saya harapkan perkara itu tidak berulang lagi," kata pemain berusia 23 tahun itu.

Selepas lapan perlawanan, Felda United menghuni kedudukan kesembilan dengan mengutip tujuh mata.

Pada baki tiga perlawanan, skuad kendalian Mohd Nidzam Jamil bakal berdepan cabaran getir berdeppan tiga pasukan yang memiliki barisan pemain berpengalaman iaitu Perak, Terengganu FC (TFC) dan Selangor.

Ditanya peluang mengutip tiga mata berdepan Perak pada Jumaat ini, Daniel mengakui The Fighters perlu tampil lebih padu jika mahu mencapai misi itu.

Katanya, kekuatan yang dimiliki Perak mampu disekat jika semua rakan sepasukan dapat membentuk persefahaman dan memanfaatkan segala peluang yang dimiliki.

"Saya juga akui bahagian serangan, malah jentera tengah dan pertahanan Perak begitu mantap tetapi kami akan berusaha untuk menafikan lawan daripada mencatat kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 6:24 PM