Md Zaqhwan menunggang motosikalnya ketika sesi latihan ARRC tahun lalu di Litar Sepang. FOTO File NSTP
Md Zaqhwan menunggang motosikalnya ketika sesi latihan ARRC tahun lalu di Litar Sepang. FOTO File NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Selepas sembilan bulan tidak dapat beraksi, Md Zaqhwan Zaidi akhirnya dapat menarik nafas lega apabila bakal bersaing di Kejuaraan Superbike Malaysia bermula hujung minggu ini menerusi kategori MSBK1000.

Dia yang sepatutnya memberi fokus kepada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) bersama pasukan Boon Siew Honda Racing pada tahun ini tidak dapat berlumba selepas perlumbaan berprestij di Asia itu terpaksa dibatalkan berikutan pandemik Covid-19.

"Saya kecewa tidak dapat beraksi di pusingan pertama ARRC Mac lalu. Saya bertambah kecewa apabila baki kalendar perlumbaan itu terpaksa dibatalkan.

"Selepas itu saya berasakan sudah tidak dapat berlumba pada tahun ini," katanya yang pernah muncul juara ARRC sebanyak dua kali menerusi kategori 600cc.

Jelas Zaqhwan, dia bernasib baik kerana pasukannya bersetuju untuk beraksi di Kejuaraan Superbike Malaysia.

"Walaupun ia hanya dua pusingan perlumbaan sekurang-kurangnya saya berpeluang berlatih memperbaiki tunggangan saya," katanya.

Bagaimanapun, Zaqhwan tidak akan menunggang jentera baru Honda CBR1000RR-R yang sepatutnya digunakan sepanjang saingan ARRC tahun ini.

Tetapi dia akan menunggang jentera Honda CBR1000 RR yang digunakan pada ARRC tahun lalu.

"Sudah tentu saya berharap dapat mencuba jentera baru tapi oleh kerana pintu negara di seluruh dunia ditutup, sukar untuk membuat urusan logistik.

"Tapi saya tetap gembira dapat menggunakan jentera tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 6:59 PM