DE Bruyne berkata Man City mempunyai matlamat besar musim ini. FOTO AFP
DE Bruyne berkata Man City mempunyai matlamat besar musim ini. FOTO AFP
AFP

London: Kevin De Bruyne berkata Manchester City mahu kembali mempamerkan keunggulan mereka dengan cuba memenangi kesemua empat trofi utama musim ini.

City menamatkan saingan musim lalu dengan kekecewaan selepas menamatkan saingan Liga Perdana dengan ketinggalan 18 mata di belakang juara liga, Liverpool dan tewas mengejut kepada Lyon pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara.

Mereka juga tewas di separuh akhir Piala FA kepada Arsenal tetapi memenangi Piala Liga selepas menewaskan Aston Villa.

Namun City bertekad untuk bangkit musim ini dan pemain tengah Belgium, De Bruyne menegaskan matlamat baharu sudah dapat dipastikan, iaitu termasuk memenangi Liga Perdana, Liga Juara-Juara, Piala FA dan Piala Liga.

"Saya rasa motivasi itu tidak akan berubah sama ada ketika menang atau kalah," kata De Bruyne.

"Apabila anda memulakan musim baharu, pasti akan ada inspirasi baharu. Anda mahu memenangi sebanyak mungkin kejuaraan dan begitulah juga dengan kami.

"Bagi kami. kesemua empat trofi itu berada dalam sasaran. Ia sememangnya sukar tetapi kami menyedarinya," katanya.

City akan kembali beraksi dengan menanti kunjungan Bournemouth pada pusingan ketiga Piala Liga, Jumaat ini.

Ia diikuti kunjungan ke Leicester pada saingan Liga Perdana, Ahad ini dengan De Bruyne mengakui kelabnya mengharungi jadual yang sibuk.

"Apabila melihat kesemua jadual, kami sedar akan berdepan kesukaran tetapi kami sedia menghadapinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 8:30 AM