Callum Hudson-Odoi (kiri) dan Lampard berbincang sesuatu sebelum perlawanan. FOTO Agensi
Callum Hudson-Odoi (kiri) dan Lampard berbincang sesuatu sebelum perlawanan. FOTO Agensi
AFP

London : Frank Lampard mencabar Callum Hudson-Odoi membuktikan dia berbaloi buat Chelsea apabila mendapat peluang diturunkan dalam kesebelasan utama dalam saingan Piala Liga berdepan Barnsley awal pagi ini.

Bos The Blues mengesahkan sayap England itu akan melakukan penampilan keduanya dalam kesebelasan utama sejak 1 Februari dalam perlawanan di Stamford Bridge.

Pemain berusia 19 tahun dilihat antara tonggak di Chelsea dan England selepas membuat kemunculan pertamanya di kelab itu pada 2018 tetapi kecederaan belakang tumit kaki yang dialami tahun lalu membataskan aksinya.

Hudson-Odoi memerlukan masa yang lama untuk terus berjuang mempamerkan aksi bola sepak dan Lampard berkata dia masih menjadi antara pemain yang diperhatikan namun mungkin akan dipinjamkan ke luar sebelum jendela perpindahan pemain ditutup pada 5 Oktober ini.

Bos Chelsea itu berkata pemain sayap itu harus memanfaatkan peluang yang tidak dapat dilakukan oleh pemain lain.

"Buat masa ini kita berdepan masalah kecederaan Christian Pulisic dan Hakim Ziyech. Kami meletakkan Timo Werner di bahagian sayap ketika berdepan Liverpool. Namun pemain sayap sejati yang cergas ketika ini adalah Callum.

"Dia harus membuktikan dalam setiap minit permainan, ketika mengawal bola atau sebaliknya, apa yang mampu dilakukan kepada pasukan dan itu adalah posisi Callum buat masa ini." katanya.

Bayern Munich dilaporkan berminat menandatangani Hudson-Odoi sebagai pemain pinjaman dan Lampard yang sibuk dengan pasaran perpindahan sebelum ini belum bersetuju dengan perpindahan pemain itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 10:46 PM