ROMA dikatakan ujian sebenar buat Pirlo. FOTO AFP
ROMA dikatakan ujian sebenar buat Pirlo. FOTO AFP
AFP

Milan: Jurulatih baharu Juventus, Andrea Pirlo berdepan ujian sebenar musim ini apabila skuad kendaliannya turun menentang AS Roma dalam saingan Serie A, awal pagi Isnin ini.

Juventus memulakan misi memburu gelaran liga buat kali ke-10 berturut-turut musim ini dengan penuh bergaya apabila menewaskan Sampdoria 3-0, Selasa lalu sekali gus memberikan kemenangan pertama kepada Pirlo sejak dilantik sebagai jurulatih.

Bagaimanapun, pengendali berusia 41 tahun itu dijangka berdepan cabaran sukar bertemu Roma yang diibaratkan harimau terluka selepas lawan mereka tumpas pada aksi pertama liga apabila Verona diberikan kemenangan percuma.

Ia susulan tindakan Roma yang didapati menyenaraikan pemain yang tidak didaftarkan.

Sejak tiba bulan lalu, Pirlo membawa masuk pemain muda seperti Arthur dan pemain tengah Amerika Syarikat, Weston McKennie, manakala pemain veteran termasuk Miralem Pjanic, Gonzalo Higuain dan Blaise Matuidi meninggalkan kelab itu.

Juventus minggu ini akan diperkuatkan semula dengan kehadiran penyerang Sepanyol, Alvaro Morata yang menjadi rakan sepasukan Pirlo pada 2014 hingga 2016.

Kelab Itali itu turut melakukan pertukaran membabitkan kakitangan pasukan dengan bekas penjaga gol Juventus, Marco Storari menyertai pasukan berkenaan dengan peranan membangunkan bakat baharu.

Storari, 43, beraksi bersama Juventus selama lima musim dan memenangi empat gelaran liga, dua Piala Super Itali dan satu Piala Itali.

Pemain tengah, Aaron Ramsey, berkata perubahan itu memberi nafas baharu kepada kelab.

"Apabila kami menjalani latihan, kami seronok. Latihan memang keras tetapi memberi kepuasan kepada kami. Kami bermula dengan baik dan dengan kehadiran jurulatih baharu dan kakitangan baharu, begitu juga idea baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 12:43 PM