BARISAN pemain Selangor mendengar kata-kata daripada Feichtenbeiner (tengah) pada sesi latihan. FOTO Ihsan FA Selangor
BARISAN pemain Selangor mendengar kata-kata daripada Feichtenbeiner (tengah) pada sesi latihan. FOTO Ihsan FA Selangor
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyokong Red Giants diharap terus menjadi 'pemain ke-12' pasukan dan sentiasa memberi sokongan terutama menjelang aksi Liga Super menentang UiTM FC di Stadium Mini UiTM Shah Alam esok.

Walaupun penyokong masih tidak dibenarkan hadir ke stadium ekoran pandemik Covid-19, sokongan masih boleh dizahirkan dengan sentiasa mempercayai pasukan yang kini dalam misi wajib menang untuk memperbaiki kedudukan dalam liga.

Pemangku ketua jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner berharap agar penyokong skuad Merah Kuning bersabar dan mendoakan kejayaan pasukan.

"Penyokong perlu bersabar dan percaya akan proses yang baru dijalankan ini. Selain itu, penyokong juga perlu mempercayai pemain yang akan meneruskan perjuangan ini dengan saya.

"Mereka ingin menunjukkan prestasi yang terbaik untuk Selangor dan membuat peminat gembira," katanya yang menggantikan tempat B Sathianathan yang dipecat pada Isnin lalu susulan prestasi tidak menentukan skuad itu terutama selepas kekalahan memalukan 1-6 kepada JDT, Sabtu lalu.

Tiga mata ke atas UiTM esok sememangnya penting buat Selangor bagi memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.

Sepanjang lapan aksi musim ini, pasukan itu sekadar mengumpul 10 mata apabila hanya meraih dua kemenangan, empat seri dan dua kekalahan.

Pencapaian itu nyata tidak disenangi peminat Red Giants yang mula mendesak agar Sathianathan digantikan dan akhirnya Feichtenbeiner yang juga Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dilantik secara sementara.

"Saya diamanahkan tugas sebagai Pengarah Teknikal kelab ini, namun apabila pihak pengurusan meminta saya membantu skuad Selangor maka saya merasakan ia adalah tugas saya untuk melakukannya.

"Saya akan mengambil alih skuad utama Selangor sebagai ketua jurulatih untuk baki perlawanan Liga Malaysis musim ini dan saya akan kembali sebagai Pengarah Teknikal untuk kesemua pasukan dalam FAS pada musim hadapan," kata jurulatih berasal dari Jerman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 6:34 PM