SM Muthu berkata kejohanan anjuran Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang dijangka berlangsung pada Disember depan mungkin ditangguh. FOTO Eizairi Shamsudin
SM Muthu berkata kejohanan anjuran Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang dijangka berlangsung pada Disember depan mungkin ditangguh. FOTO Eizairi Shamsudin
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Barisan atlet olahraga negara mungkin perlu menunggu lebih lama lagi untuk menguji kemampuan masing-masing apabila kejohanan anjuran Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang dijangka berlangsung pada Disember depan mungkin ditangguh berikutan peningkatan kes Covid-19.

Menurut Presiden KOM, Datuk SM Muthu, kejohanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu perlu dipertimbangkan penganjurannya berikutan dibimbangi akan tersebarnya pandemik berkenaan sekali gus mengancam keselamatan atlet.

Beliau berkata, perkara terbabit akan dibincangkan bersama beberapa pihak dalam masa terdekat ini dan keputusan akan dimaklumkan apabila mendapat nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Seperti sedia maklum, atlet negara sudah lama berehat daripada kejohanan kompetitif dan ia sebenarnya penting bagi mereka menguji prestasi dan kemampuan diri masing-masing selepas menjalani latihan kecergasan dan fizikal di trek serta balapan sejak awal pertengahan Julai lalu.

"Walaupun penganjurannya penting namun KOM perlu mengambil kira semua perkara terutama jika sekarang ini kes Covid-19 meningkat sekali gus berisiko kepada atlet nanti.

"Pada masa ini, kami belum lagi membuat keputusan berkaitan penundaan kejohanan itu namun perkara terbabit mungkin terpaksa dilakukan jika ia membahayakan banyak pihak," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, sesi latihan kem olahraga negara terpaksa ditangguhkan sejak 18 Mac lalu berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan dalam memutuskan rantaian Covid-19.

Namun pertengahan Julai lalu, kerajaan membenarkan atlet trek dan balapan negara khasnya atlet di bawah Program Podium dan pelapis kebangsaan kembali menjalani latihan dengan pematuhan tinggi terhadap semua garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya bercadang mahu menghantar beberapa atlet menjalani latihan di luar negara namun akan dirujuk terlebih dahulu kepada pihak berkaitan sebelum berbuat demikian.

"Sesi latihan di luar negara sebenarnya penting dalam memantapkan lagi prestasi atlet sebagai persediaan menghadapi kejohanan antarabangsa tahun depan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 7:05 PM