NASIHIN kini menggalas tugas ketua jurulatih skuad wanita negara. FOTO Bernama
NASIHIN kini menggalas tugas ketua jurulatih skuad wanita negara. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Yakin dan percaya kepada kemampuan pemain hoki wanita negara menyebabkan pengendali baharu pasukan terbabit, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim tidak mahu mengambil langkah drastik dengan melakukan rombakan besar-besaran terhadap skuad berkenaan.

Malah, beliau hanya melakukan sedikit perubahan dengan mengambil beberapa pemain baharu hasil daripada pemantauan yang dilakukannya sebelum ini.

Bekas penjaga gol yang mewakili negara pada Olimpik 1996 dan 2000 itu berkata, beliau sudah melihat sendiri prestasi pemain hoki wanita negara dengan rata-ratanya mempunyai kemampuan dan kelebihan tersendiri seterusnya mampu merencanakan strategi yang akan diterapkan kepada mereka pada masa akan datang.

Beliau berkata, fokus ketika ini adalah mengilap lagi bakat dan kemampuan yang dimiliki mereka seterusnya mampu memberi saingan kepada pasukan gergasi lain pada kejohanan akan datang.

"Kita jangan memandang rendah kepada kemampuan pemain hoki negara ketika ini sehingga perlu melakukan rombakan besar-besaran sekali gus memberi kerugian kerana mereka ada kelebihan tertentu.

"Jadinya, mungkin saya akan ambil beberapa pemain baharu menerusi pemantauan di kejohanan peringkat domestik untuk bergabung dengan pemain sedia ada.

"Sudah pastinya, saya mempunyai ramuan tersendiri dalam merencana strategi kepada mereka berdasarkan pengalaman yang ada sebelum ini," katanya.

Sebelum itu, selepas sembilan bulan menunggu, pasukan hoki wanita kebangsaan akhirnya menerima ketua jurulatih baharu dengan mengumumkan bekas pemain kebangsaan terbabit mengisi kekosongan jawatan itu.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, penolong jurulatih skuad lelaki itu dipilih selepas ditemuduga bersama tiga calon lain terdiri daripada rakyat tempatan, warga Britain dan Belanda - bagi mengisi jawatan berkenaan secara kontrak selama dua tahun.

Nasihin pernah membimbing Malaysian Tigress selaku ketua jurulatih dari 2011 hingga 2015 yang menyumbang dua pingat emas Sukan SEA termasuk rekod kemenangan 36-0 ke atas Kemboja semasa edisi Sukan SEA Myanmar 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 8:59 PM