PEMAIN Negeri Sembilan, Igor Carneiro Luiz (kiri) diasak oleh pemain Kuching FA, Yuki Tanigawa dalam perlawanan Liga Perdana Negeri Sembilan menentang Kuching FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. FOTO NSTP
PEMAIN Negeri Sembilan, Igor Carneiro Luiz (kiri) diasak oleh pemain Kuching FA, Yuki Tanigawa dalam perlawanan Liga Perdana Negeri Sembilan menentang Kuching FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. FOTO NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Hasrat Negeri Sembilan mencipta kemenangan hatrik di laman sendiri tidak kesampaian apabila tewas kepada Kuching FC, 2-4, dalam aksi Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Skuad Hobin Jang Hobin seolah-olah hilang rentak terutama pada separuh masa pertama sebaliknya Kuching FC lebih banyak menguasai permainan.

Serangan bertali arus dilakukan ke kubu Negeri Sembilan berhasil menerusi gol pertama jaringan Bryan Jones Anicezio pada minit ke-11, yang bijak memperdayakan pertahanan dan mudah menolak masuk bola ke dalam gawang menewaskan Mohd Kaharuddin Abd Rahman.

Jaringan itu menambahkan lagi semangat mereka untuk mencari kedudukan selesa dan hasilnya pada minit ke-20, giliran Hudson Dias De Jesus mencetak nama sebagai penjaring.

Dia memanfaatkan bola sepakan sudut Joseph Kalang Tie yang mengelirukan penjaga gol tuan rumah untuk gol kedua pelawat.

Belum sempat untuk memperkemaskan gerakan, gawang Negeri Sembilan bocor lagi menerusi gol ketiga pada minit ke-21, menerusi jaringan Bryan yang melakukan gerakan solo dari bahagian tepi sebelah kanan.

Dia melakukan sepakan lambung cantik terus ke gawang yang membuatkan Mohd Kaharuddin, tergamam dan gagal menyelamatkan pintu gol Negeri Sembilan.

Ketinggalan tiga gol jelas memberi tekanan buat anak buah Sazali Saidun dan mereka cuba menyusun kembali serangan untuk mendapatkan gol bagi mengurangkan defisit lawan.

Usaha itu berhasil apabila suasana kelam kabut di depan pintu gol Kuching dimanfaatkan pemain pertahanan, Matheus Fernandes yang menolak masuk bola ke gawang menewaskan Mohd Iqbal Suhimi, untuk gol pertama Negeri Sembilan pada minit ke-25.

Bagaimanapun, keceriaan tuan rumah tidak bertahan lama apabila Kuching melebarkan lagi penguasaan menerusi gol keempat, dijaringkan Bryan pada minit ke-27, angkara kesilapan Kaharuddin selepas bola yang dihantar dapat disambar pemain lawan.

Bersambung separuh masa kedua, skuad Hobin Jang Hobin dilihat cuba memperkemaskan permainan dan berjaya mendapatkan gol kedua pada minit ke-49, menerusi sepakan percuma diambil Mathues dari jarak kira-kira 30 meter.

Hasrat Negeri Sembilan untuk menambah jaringan atau sekurang-kurangnya mendapatkan satu mata tidak kesampaian apabila usaha menambah jaringan gagal sehingga ke wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 11:23 PM