AZARENKA semakin seronok beraksi di gelanggang tanah liat. FOTO AFP
AZARENKA semakin seronok beraksi di gelanggang tanah liat. FOTO AFP
AFP

Paris: Victoria Azarenka bersedia untuk berdepan cabaran sekali gus dapat meneruskan momentum mara ke final Terbuka Amerika Syarikat (AS) menjelang aksi di Roland Garros walaupun dia hanya mencatat tiga kemenangan di Paris sejak tujuh tahun lalu.

Pemain kelahiran Belarus itu berdepan masalah kecederaan dan hak penjagaan anak namun bekas pemain nombor satu dunia itu membuktikan di New York bahawa dia masih belum hilang sentuhan bertaraf Grand Slam.

Dia tumpas kepada Naomi Osaka pada perlawanan akhir Terbuka AS buat kali ketiga namun melakukan penampilan pertama di Grand Slam sejak tumpas kepada Serena Williams di Flushing Meadows pada 2013.

Azarenka, yang juga juara Terbuka Australia sebanyak dua kali, mengakui kematangannya semakin meningkat dan kelihatan bersemangat mengenai peluangnya di Terbuka Perancis.

"Saya sudah merasakan sejak tahun lalu bahawa saya akhirnya sudah mendapatkan rentak, seronok beraksi di gelanggang tanah liat, menggelungsur dan bukan hanya mengetuk tanah di kasut setiap kali beraksi di permukaan itu.

"Saya rasa lebih banyak menikmatinya sekarang, saya dapat menyesuaikan diri dengan baik. Saya jangka dapat menyesuaikan diri dari hari ke hari selepas ini.

"Saya juga berasa teruja untuk mencorakkan permainan saya di permukaan tanah liat. Ini tahun kedua saya menikmatinya selepas 16 tahun berada dalam jelajah. Saya tidak sabar untuk turun beraksi," kata Azarenka yang berusia 31 tahun.

Persembahan terbaik Azarenka di ibu negara Perancis itu hadir ketika berjaya mara ke separuh akhir pada 2013, apabila dia kalah tiga set kepada Maria Sharapova.

Dalam empat penampilannya selepas itu, dia tidak berjaya untuk melepasi pusingan ketiga dan dua kali tumpas di perlawanan pembukaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 9:32 AM