PELBAGAI faktor membuatkan Nadal merasakan Terbuka Perancis kali ini sangat berbeza. FOTO AFP
PELBAGAI faktor membuatkan Nadal merasakan Terbuka Perancis kali ini sangat berbeza. FOTO AFP
AFP

Paris: Rafael Nadal mengakui dia bakal berdepan saingan Roland Garros paling sukar ketika dia mempersiapkan diri untuk memburu gelaran Terbuka Perancis buat kali ke-13.

Pemain berusia 34 tahun itu memerlukan satu lagi gelaran Grand Slam untuk menyamai rekod Roger Federer, 20 kejuaraan tapi keadaannya ketika ini seperti kurang meyakinkan.

"Keadaan cuaca di sini seakan memberi isyarat kepada saya bakal berdepan saingan Roland Garros paling sukar dengan pelbagai sebab berbeza.

"Bola agak berat. Ia bergerak perlahan. Saya juga merasakan di sini sedikit sejuk. Sudah tentu persiapan saya agak berbeza seperti sebelum ini," kata pemain nombor dua dunia itu.

Nadal, yang meraih kejuaraan sulung Terbuka Perancis 15 tahun lalu dan hanya dikalahkan sebanyak dua kali dalam 95 perlawanan, tiba di Paris ketika keadaan cuaca sedikit sejuk serta lembap.

Dia tidak mempertahankan kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat (AS) kerana gusar dengan pandemik Covid-19 dan hanya bermain tiga perlawanan di saingan permukaan tanah liat di Rome minggu lalu apabila tersingkir di suku akhir.

Terbuka Itali adalah kejohanan pertamanya sejak Februari lalu dan sekarang dia diletakkan sebagai pemain pilihan untuk juara di Terbuka Perancis.

"Cuaca di sini sangat sejuk," kata Nadal yang berpangkalan di Mallorca dan menyedari bahawa sesi latihan semalam mencecah suhu sembilan darjah selsius.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 11:11 AM