PENGENDALI TFC, Nafuzi lega selepas anak buahnya kembali melakar kemenangan menumpaskan PDRM dalam aksi Liga Super malam tadi. FOTO MALIK MOHAMAD
PENGENDALI TFC, Nafuzi lega selepas anak buahnya kembali melakar kemenangan menumpaskan PDRM dalam aksi Liga Super malam tadi. FOTO MALIK MOHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain menarik nafas lega selepas percaturannya menjadi sesudah anak buahnya berjaya membenam pasukan tercorot Liga Super, PDRM di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam tadi.

Skuad kendaliannya kembali melakar kemenangan 4-0 selepas tewas tiga aksi berturut-turut sebelum ini kepada Melaka, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan dikejutkan pendatang baharu Liga Super, UiTM.

Beliau berkata, kemenangan itu sudah pasti menyuntik semula semangat dan motivasi anak buahnya yang sebelum ini sedikit merudum berikutan kekalahan itu.

"Motivasi pemain-pemain saya akui sedikit merudum selepas kami kalah dalam tiga aksi sebelum ini. Barisan serangan kami juga dilihat agak tumpul dan memerlukan pemain berpengalaman.

"Oleh itu, saya membuat lima pertukaran, Dominique da Sylva diganti dengan Bruno Junichi Suzuki (penyerang TFC II) untuk bergandingan dengan Lee Tuck dan Muhammad Faris Ramli pada perlawanan malam ini (malam tadi), lagipun kita tahu perlawanan sebelum ini kita mencipta peluang namun gagal melakukan penyudah, tapi malam ini Alhamdulillah ia menjadi," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Mengulas lanjut Nafuzi berkata, kemenangan itu juga menguatkan keazaman anak buahnya untuk mengharungi baki dua perlawanan lagi menentang FELDA United dan Pahang bagi menamatkan saingan Liga Super dalam kelompok pasukan terbaik.

Beliau menegaskan skuad TFC dibarisi pemain muda dalam proses pembinaan untuk menjadi skuad yang lebih mantap dan meminta penyokong dan pengkritik agar lebih bersabar.

"Kita tahu Terengganu ramai pemain muda berbakat untuk aset negeri, bola sepak kita tidak boleh berjaya sekelip mata, ditambah pula pemain muda, jadi sudah pasti memerlukan masa dan sokongan semua pihak," katanya.

Ketika ditanya adakah beliau tertekan sebelum ini selepas tumpas tiga aksi berturut-turut, Nafuzi tidak menafikannya.

"Normal sebagai jurulatih bola sepak moden, 'trend' sekarang tewas tiga perlawanan jurulatih kena rehat, itu adalah asam garam, tapi yang penting terserah kepada pihak pengurusan selagi memerlukan khidmat saya, saya akan berikan yang terbaik, janji apa yang saya buat pemain gembira," katanya.

TFC melonjak ke tangga keempat liga dengan 13 mata, manakala PDRM FC sah tersingkir ke Liga Perdana musim depan berikutan kekalahan ketujuh itu.

Pada aksi itu, skuad Penyu mendapat gol menerusi Muhammad Faris yang juga pemain sayap kelahiran Singapura dan kapten berdarah campuran Malaysia- England, Lee Tuck yang masing-masing meledak dua gol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 4:11 PM