BEBERAPA individu menghubungi Sathianathan dan berminat menggunakan khidmatnya. FOTO NSTP
BEBERAPA individu menghubungi Sathianathan dan berminat menggunakan khidmatnya. FOTO NSTP
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Siapa kata jurulatih tempatan tidak laku apabila bekas pengendali Selangor B Sathianathan mengakui beliau dirisik beberapa pasukan termasuk daripada luar negara yang mahu menggunakan khidmatnya pada musim depan.

Sathia berkata, beberapa individu menghubunginya untuk mengetahui status dan mahu membincangkan beberapa perkara lain termasuk berminat menggunakan khidmatnya bagi mengendalikan pasukan.

Bekas jurulatih Kelantan dan Felda United itu berkata, pada masa ini beliau mahu berehat terlebih dahulu dan memerlukan sedikit masa untuk mempertimbangkan dahulu jika terdapat tawaran daripada kelab tempatan dan luar negara.

"Memang saya akui menerima panggilan daripada beberapa individu termasuk daripada luar negara yang bertanya mengenai khidmat sebagai jurulatih namun perkara terbabit bukanlah membincangkan secara serius.

"Sekarang ini saya mahu berehat dahulu dan akan memikirkan perkara terbabit nanti termasuk mendapat tawaran secara serius," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan kekalahan besar Selangor di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim minggu lalu menyaksikan Sathianathan dipecat serta merta oleh Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Tempat Sathia dipikul sementara oleh Pengarah Teknikal FAS, Micheal Feichtenbeiner sehingga ketua jurulatih yang baharu diumumkan kelak.

Pengumuman pemecatan Sathia dan pelantikan Feichtenbeiner diumumkan oleh FAS menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh persatuan itu.

Sementara itu, beliau yang pernah memenangi jurulatih terbaik pada 2010,2012 dan 2017 mengakui bersikap terbuka untuk melatih pasukan pada musim depan termasuk jika perlu berhijrah ke negara lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 5:52 PM