AARON (kiri) dan Wooi Yik mahu mengalihkan fokus kepada Jelajah Asia pula. FOTO Ihsan BAM
AARON (kiri) dan Wooi Yik mahu mengalihkan fokus kepada Jelajah Asia pula. FOTO Ihsan BAM
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Selepas aksi Piala Thomas/Uber ditangguhkan, beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menaruh harapan untuk menyertai Kejohanan Jelajah Asia yang akan berlangsung pada Januari depan.

Mungkin perkhabaran itu sedikit melegakan beregu negara apabila penganjur menunda kejohanan yang sepatutnya berlangsung November ini ketika penularan Covid-19 belum menampakkan penurunan.

Kata Aaron, perkara itu sudah dibincangkan bersama jurulatih berhubung penyertaan skuad negara ke kejohanan berkenaan dengan fokus latihan kini terarah mempersiapkan diri.

"Fokus sekarang ini adalah untuk Kejohanan Asia. Perkara itu sudah dibincangkan dengan jurulatih dan jika ia dianjurkan mungkin kami akan menyertainya.

"Tapi ia masih belum pasti akan diadakan atau tidak. Apapun kami tetap bersedia dan akan berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk membawa pulang kejuaraan," katanya.

Bagaimanapun bagi beregu lelaki nombor sembilan dunia itu, mereka perlu memastikan penganjur menerapkan prosedur operasi standard (SOP) yang memuaskan agar tidak membangkitkan kegusaran wakil negara yang akan bertanding.

Kejohanan Jelajah Asia membabitkan tiga kejohanan yang dirancang berlangsung di Thailand hujung tahun ini namun ditunda kepada tahun depan.

Terbuka Asia akan berlangsung dari 12 hingga 17 Januari diikuti Terbuka Asia II (19-24 Januari) dan Siri Jelajah Dunia (27-31 Januari).

Kali terakhir pasangan negara itu beraksi di pentas antarabangsa adalah pada Mac lalu di Kejohanan Seluruh England yang mana langkah mereka terhenti di suku akhir apabila tewas kepada beregu Indonesia, Marcus Fernaldi-Kevin Sanjaya, 17-21, 19-21.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 6:14 PM