BARISAN pemain Kuala Lumpur meraikan kejayaan menewaskan Selangor II. FOTO Ihsan Kuala Lumpur Hawks
BARISAN pemain Kuala Lumpur meraikan kejayaan menewaskan Selangor II. FOTO Ihsan Kuala Lumpur Hawks
BERNAMA

Kuala Lumpur: Walaupun sudah layak beraksi dalam saingan Liga Super pada musim depan, pasukan Kuala Lumpur tetap memberi sepenuh tumpuan kepada baki dua perlawanan Liga Premier menentang Perak II pada 2 Oktober dan Kuching FA, 9 Oktober.

Ketua jurulatih Kuala Lumpur Mohd Nidzam Adzha Yusoff berkata tumpuan skuad Warga Kota ialah merapatkan jurang mata dengan pendahulu, Pulau Pinang yang sudah lebih awal mengesahkan tiket ke Liga Super 2021.

"Kita juga akan cuba mendapatkan maksimum enam mata (dalam baki dua perlawanan) selepas iniā€¦ tapi kita berpuas hati dengan sasaran yang kita capai (naik ke Liga Super pada musim depan)," katanya pada sidang media selepas perlawanan Liga Premier menentang Selangor II di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini malam tadi.

Kemenangan 5-4 yang diraih Kuala Lumpur pada perlawanan itu mengesahkan mereka mengiringi Pulau Pinang ke saingan Liga Super 2021 selepas sembilan perlawanan.

Kedua-dua pasukan berkenaan berkongsi 20 mata, namun Pulau Pinang berada di atas menerusi kelebihan jaringan selain masih mempunyai baki tiga perlawanan.

Dalam pada itu, Ketua jurulatih Selangor II, Rusdi Suparman berkata beliau berpuas hati dengan persembahan cemerlang yang dipamerkan barisan muda pasukan berkenaan pada perlawanan itu walaupun tewas.

"Apa yang saya bangga dengan pemain saya ialah mereka tidak mudah mengalah walaupun kita ketinggalan (beberapa kali). Pada suatu masa, kita mendahului Kuala Lumpur menerusi jaringan 1-0 dan 4-3 (sebelum Kuala Lumpur bangkit mencatat kemenangan).

"Hanya kekurangan pengalaman sahaja yang menyebabkan kita tewas pada perlawanan ini," kata Rusdi yang juga bekas pemain Selangor.

Beliau mengambil alih tugas mengendalikan pasukan itu daripada jurulatih kelahiran Jerman, Michael Feichtenbeiner yang dilantik sebagai pengendali baharu Selangor susulan pemecatan B. Sathianathan baru-baru ini.

Pada perlawanan berkenaan, Selangor II mendahului perlawanan menerusi jaringan Muhammad Syazwan Salihin seawal minit keempat sebelum Kuala Lumpur kembali berada di depan menerusi jaringan Muhammad Fakhrul Aiman Sidid pada minit ke-33, Nicolas Alejandro Dul (ke-34) dan Francis Kone pada minit ke-41.

Selangor II mendahului 4-3 hasil jaringan Bajram Nebihi pada minit ke-62 dan ke-68, serta gol Ahmad Danial Ahmad Asri pada minit ke-66, namun Kuala Lumpur bangkit dengan dua lagi jaringan menerusi pemain veteran, Indra Putra Mahayuddin dan pemain muda, Muhammad Izreen, masing-masing pada minit ke-71 dan ke-79.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 6:35 PM