ROSSI sah beraksi PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team pada musim depan. FOTO AFP
ROSSI sah beraksi PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team pada musim depan. FOTO AFP
AFP

Barcelona: Valentino Rossi menandatangani kontrak lanjutan selama setahun dengan Yamaha yang menyaksikannya berhijrah ke pasukan satelit PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT) untuk musim 2021.

"Yamaha Motor Co Ltd ingin mengumumkan sudah menandatangani kontrak lanjutan selama setahun bersama legenda Valentino Rossi," kata Yamaha dalam satu kenyataan.

"Juara dunia sembilan kali itu itu akan beraksi pada Kejohanan Dunia MotoGP 2021 sebagai pelumba dengan sokongan penuh Factory Yamaha bersama PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team."

Dilabel antara pelumba terbaik sepanjang zaman, legenda berusia 41 tahun itu sudah muncul juara kelas MotoGP sebanyak tujuh kali dengan empat daripadanya ketika bersama Yamaha.

Pelumba Itali itu memegang rekod kemenangan kelas MotoGP dan 500cc iaitu sebanyak 89 kali namun dia tidak pernah memenangi perlumbaan elit itu sejak tiga tahun lalu.

Dia mendominasi sukan itu sebelum Marc Marquez mengambil alih takhta berkenaan apabila muncul juara dunia sebanyak enam kali.

Rossi menamatkan kempen musim lalu di tempat ketujuh.

"Saya sangat gembira dapat terus berlumba pada 2021 bersama PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team," kata Rossi dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 9:25 PM