RAMOS meraikan jaringan kemenangan yang berpunca daripada sepakan penalti. FOTO AFP
RAMOS meraikan jaringan kemenangan yang berpunca daripada sepakan penalti. FOTO AFP
AFP

Madrid: Sergio Ramos muncul wira apabila sepakan penalti yang diambilnya pada hujung permainan membantu Real Madrid bangkit mencatat kemenangan 3-2 ke atas Real Betis, yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam aksi La Liga, awal pagi tadi.

Kemenangan itu adalah yang pertama buat Real musim ini selepas hanya seri tanpa jaringan dengan Real Sociedad dalam aksi pembuka tirai, minggu lalu.

Real berada di depan menerusi Fede Valverde pada minit ke-14 sebelum Betis mendahului menerusi dua gol yang dijaringkan Aissa Mandi minit ke-35 dan William Carvalho dua minit kemudian.

Bagaimanapun, pertahanan Betis, Emerson berdepan saat memalukan dalam perlawanan itu apabila dia menjaringkan gol sendiri pada minit ke-48 sebelum dilayangkan kad merah kerana mengasari Luka Jovic.

Video Bantuan Pengadil (VAR) menjadi penyelamat buat Real apabila rakaman berkenaan menyaksikan bola terkena tangan Marc Bartra dalam kotak penalti pada minit ke-82 dan Ramos dengan tenang menyempurnakan tugasnya sekali gus memastikan kemenangan buat kelabnya.

Betis melakukan bantahan terhadap pengadil, Ricard de Burgos selepas tamat perlawanan kerana mendakwa bola yang terkena tangan Bartra adalah disebabkan asakan yang dibuat pemain Real, Borja Mayoral.

"Saya tidak mahu mengulas mengenai keputusan pengadil. Kami bergelut tetapi akhirnya kami berjaya mengutip tiga mata," kata jurulatih Real, Zinadine Zidane.

Kekalahan menyaksikan rekod cemerlang Betis di bawah jurulatih baharu, Manuel Pellegrini lebur selepas melakar dua kemenangan ketika menentang Alaves dan Real Valladolid dalam dua perlawanan awal musim ini.

"Daripada gol pertama Real sehinggalah tamat babak pertama, kami lebih mendominasi. Namun, kami gagal mempertahankannya pada babak kedua perlawanan," kata Mandi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 9:01 AM