SUAREZ sudah memulakan latihan bersama Atletico semalam. FOTO AFP
SUAREZ sudah memulakan latihan bersama Atletico semalam. FOTO AFP
AFP

Madrid: Jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone percaya Luis Suarez mampu menjulang kelab ke martabat lebih tinggi dan berkata pemain yang baru ditandatanganinya itu akan berada dalam skuad menjelang aksi menentang Granada malam ini.

Suarez menyertai Atletico selepas disingkirkan dari Barcelona, menyaksikan pemain berusia 33 tahun itu meninggalkan kelab secara percuma dan hanya perlu dibayar dengan nilai tambahan sebanyak 5 juta euro (RM24 juta).

"Kehadirannya membuka peluang kepada kami untuk terus berkembang dan kami seperti mendapat suntikan semangat baru.

"Kami pernah berbincang sebelum dia ke Barcelona dan ketika itu kami merasakan dia akan bersama kami. Selama enam tahun dia mengharungi musim dengan penuh dengan kejayaan.

"Rakan sepasukannya sekarang mahu dia cepat menyesuaikan diri, jadi jaringan dan permainannya boleh membantu kami," kata Simeone.

Simeone berkata, Suarez mula berlatih dengan rakan sepasukannya sejak semalam dan berada dalam landasan terbaik untuk tampil kali pertama menentang Granada di Wanda Metropolitano malam ini.

"Semalam, dia berlatih dalam tempoh yang lama dan melalui latihan dengan cemerlang bersama pasukan.

"Dia dilihat bermotivasi tinggi dan teruja, sudah pasti dia akan berada dalam skuad. Malam ini kita akan tengok sama ada dia boleh diletakkan dalam kesebelasan utama atau masuk di separuh masa kedua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 3:32 PM