KHAIRUL Anuar menerima insentif sebanyak RM100,000 daripada kerajaan negeri. FOTO Malik Muhamad
KHAIRUL Anuar menerima insentif sebanyak RM100,000 daripada kerajaan negeri. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Jaguh trek berbasikal negara, Azizulhasni Awang dan atlet memanah negara, Khairul Anuar Mohamad masing-masing menerima 'durian runtuh' sebanyak RM100,000 daripada kerajaan negeri sekali gus menjadi pembakar semangat sebelum beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang bakal berlangsung pada 23 Julai tahun depan.

Penyampaian insentif terbesar kepada dua Olimpian negara itu disempurnakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Yahaya Ali yang turut dihadiri Pengerusi Pembangunan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah serta Pengerusi Majlis Belia Terengganu, Amirullah Othman pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri di Duyong semalam.

Khairul Anuar yang digelar `Robin Hood' negara hadir pada majlis itu manakala Azizulhasni yang dilabel `The Pocket Rocketman' diwakili ibunya, Selamiah Yong, kerana masih berada di Melbourne, Australia menjalani latihan sebagai persiapan menyertai sukan terbesar itu.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri atas pemberian insentif Olimpik ini, kali pertama saya mendapat nilai yang agak tinggi dan insentif ini sudah pasti mampu menyuntik semangat saya untuk melakukan panahan yang lebih baik buat negara," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Ketika ditanya persiapannya sebelum menghadapi temasya Olimpik itu, pemanah recurve negara yang meraih pingat perak Kejohanan Memanah Dunia di Belanda tahun lalu mengakui dia kini fokus mengadakan latihan bagi mengintai pingat buat negara pada temasya empat tahun sekali itu.

"Persiapan latihan sekarang berjalan dengan lancar, namun buat masa ini tidak ada perancangan untuk diadakan di luar negara memandangkan pandemik Covid-19.

"Walaupun saya mahu beraksi dalam kejohanan luar, tapi apabila fikir keselamatan, saya terpaksa tangguh dahulu menyertai kejohanan lain dan setakat ini hanya berlatih di Bukit Jalil.

"Pada masa sama saya juga bakal menyertai kejohanan tempatan terlebih dahulu sebelum beraksi dalam kejohanan di luar negara kerana sasaran saya di Sukan Olimpik nanti mahu mengutip pingat tanpa mengira warna biarpun akui sukar," katanya.

Berdasarkan rekod, Olimpik Tokyo adalah penyertaan ketiga pemanah berketinggian 1.71 meter itu dalam temasya sukan itu.

Kali pertama Sukan Olimpik 2012 di London layak ke suku akhir manakala Sukan Olimpik Rio, Brazil 2016, pemanah itu tidak bernasib baik gagal ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 6:11 PM