Ruben Dias memperkuatkan barisan pertahanan City. FOTO Agensi
Ruben Dias memperkuatkan barisan pertahanan City. FOTO Agensi
Agensi

London: Manchester City dilaporkan bersetuju dengan perjanjian untuk menandatangani pertahanan Portugal, Ruben Dias dari Benfica dengan nilai £65 juta (RM345 juta).

Pertahanan tengah City dari Argentina, Nicolas Otamendi, 32, pula akan menyertai kelab Portugal itu dengan £13.7 juta (RM72.9 juta) dalam perjanjian perpindahan berasingan.

Pengurus City, Pep Guardiola mahu memperkuatkan bahagian pertahanan tengah sejak persaraan Vincent Kompany musim panas lalu.

Benfica dilaporkan mengeluarkan kenyataan mengesahkan kedua-dua perpindahan itu tapi urusan menandatangani kontrak masih perlu dilakukan oleh kedua-dua pemain berkenaan.

Guardiola (tengah) memberi arahan kepada Otamendi.
Guardiola (tengah) memberi arahan kepada Otamendi.

Dias, 23, adalah kapten buat Benfica ketika kemenangan ke atas Moreirense pada Sabtu lalu malah rakan rapat kepada Pengarah Sukan kelab, Rui Costa sepanjang bersama kelab berpangkalan di Lisbon itu.

Selepas perlawanan itu, Dias - yang menjaringkan gol ke-12 buat kelab dalam 133 penampilan memberitahu Benfica TV.

"Ia adalah perlawanan yang sangat penting dan berjaya melakukan jaringan adalah sesuatu yang sangat istimewa.

"Saya percaya semua orang sudah tahu kenapa saya memeluk erat Rui Costa."

Kegagalan menggantikan kapten, Kompany adalah masalah utama buat City yang tidak dapat bersaingan dengan Liverpool musim lalu dalam pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Bintang Napoli, Kalidou Koulibaly, 29, adalah antara sasaran utama City pada musim panas ini tetapi kelab Itali berkenaan meletakkan £80 juta (RM425 juta) bagi pertahanan Senegal di mana City tidak bersedia untuk membayarnya dengan harga tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 12:36 PM