CHENG Hoe bakal hadapi masalah himpun pemain terbaik.
CHENG Hoe bakal hadapi masalah himpun pemain terbaik.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ditelan mati emak, diluah mati bapa! Demikian perumpamaan yang mungkin bakal dihadapi barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya menjelang saingan Piala AFF pada April nanti ekoran kejohanan serantau itu yang tidak berada dalam kalender Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Lantas, senario itu pasti menduga pengendali pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe dalam menghimpunkan barisan terbaiknya ketika komitmen pemain bersama pasukan Liga Malaysia (Liga M) juga turut dituntut majikan masing-masing.

Cheng Hoe yang dihubungi Arena Metro mengakui beliau terpaksa memikirkan dan mencari formula terbaik bagi mengatasi masalah berkenaan yang mungkin memberi kesan kepada kekuatan skuad Harimau Malaya di Piala AFF nanti.

Katanya, satu siri perbincangan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan diadakan bagi mencari penyelesaian buat memuaskan hati semua pihak.

"Semua itu saya belum fikir (persiapan pasukan tahun depan) lagi, kerana kita kena buat pelan yang terbaik kerana saya pun sentiasa kena hormat jadual pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia.

"Kita tahu pengurusan dan jurulatih (peringkat kelab) perlukan pemain utama dalam kesebelasan utama mereka dan itulah sebab saya belum putuskan lagi, dan belum berbincang lagi dengan FAM untuk cari formula yang terbaik.

"Tetapi dalam pada masa sama juga pasukan kebangsaan perlu bermain (Piala AFF). Kita perlu cari satu alternatif (keputusan) menang-menang di mana tak mahu kelab kehilangan pemain kebangsaan dan dalam masa sama kita nak pasukan kebangsaan bermain dalam satu tahap terbaik," katanya ketika dihubungi hari ini.

Isu keengganan pasukan melepaskan pemain ke kem latihan skuad kebangsaan bukanlah isu baharu sebaliknya ia sudah beberapa kali berlaku terutama apabila membabitkan saingan yang tidak berada dalam kalender Fifa.

Akibatnya, skuad negara terpaksa mengambil risiko dengan membawa 'pemain kumpulan kedua' atau pemain muda untuk menggalas tugas hingga akhirnya membawa kesan negatif kepada persembahan pasukan.

Bagaimanapun, Cheng Hoe tetap tenang dan percaya akan adanya jalan keluar bagi menghadapi Piala AFF, sekaligus memastikan cabaran Malaysia selaku naib juara edisi lalu tetap menyengat.

Untuk rekod, pada edisi 2018 lalu, skuad Harimau Malaya hampir mengulangi pencapaian pasukan 2010 yang menjuarainya buat pertama kali apabila tewas 3-2 secara agregat kepada Vietnam dalam aksi final itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 11:14 PM