MIRNAWAN   bersama rakan sepasukan yang layak ke Sukan Olimpik 1992 di Barcelona. FOTO NSTP
MIRNAWAN bersama rakan sepasukan yang layak ke Sukan Olimpik 1992 di Barcelona. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: "Kalau saya boleh layak ke Olimpik 1992, 1996 dan 2000, saya yakin barisan pemain sedia ada juga mampu layak ke Olimpik 2024.''

Demikian pandangan pengurus skuad hoki lelaki negara, Datuk Mirnawan Nawawi yang percaya misi untuk memastikan Malaysian Tigers kembali layak ke temasya sukan terbesar dunia itu di Paris 2024 mampu dicapai.

Mirnawan atau nama gelarannya 'The Boss' bagaimanapun berkata, tugas itu tidak boleh dilakukannya secara berseorangan hanya kerana statusnya sebagai legenda dalam sukan itu.

Sebaliknya beliau memerlukan komitmen daripada semua pihak terutamanya barisan pemain negara serta ketua jurulatih, Arul Selvaraj.

"Pada akhirnya segala-galanya bergantung kepada pemain. Mereka perlu ikhlas, mempunyai keinginan tinggi dan paling penting mentaliti untuk menang. Inilah yang saya dan jurulatih mahu lakukan, iaitu menukar cara pemikiran pemain," katanya.

Jelas Mirnawan, pasti ada sesuatu yang tidak kena atau kekurangan apabila Malaysia gagal layak ke Olimpik sejak penampilan terakhir di Sydney 2000, iaitu ketika beliau sendiri sedang aktif beraksi bersama skuad negara.

"Saya akan cuba curahkan segala pengalaman saya tetapi saya juga perlukan kerjasama daripada pemain untuk penuhi misi ke Olimpik 2024," katanya.

Ini kali kedua Mirnawan bergandingan bersama ketua jurulatih, Arul Selvaraj selepas kali pertama ketika menjadi pengurus skuad remaja atau dikenali Projek 2016.

Selain dilabel pemain terbaik negara, legenda berusia 49 tahun itu juga mempunyai rekod cemerlang selaku pengurus apabila membantu skuad Projek 2013 di bawah bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah ketika itu memenangi Piala Remaja Asia 2012 buat kali pertama selain menamatkan saingan Piala Dunia Remaja 2013 di tempat keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 11:26 PM