Jack Grealish (kanan) penjaring gol pembukaan Villa ketika berdepan Fulham. FOTO AFP
Jack Grealish (kanan) penjaring gol pembukaan Villa ketika berdepan Fulham. FOTO AFP
AFP

London: Aston Villa meneruskan permulaan cemerlang musim Liga Perdana ketika jaringan Jack Grealish, Conor Hourihane dan Tyrone Mings memastikan kemenangan selesa 3-0 ke atas pasukan bergelut, Fulham, awal pagi ini.

Fulham kendalian Scott Parker kini melepaskan 10 gol selepas tewas dalam tiga perlawanan pembukaan dan barisan pertahanan tampak goyah ketika ketinggalan 0-2 dalam tempoh 15 minit permainan.

Hantaran lambung John McGinn membolehkan pemain kebangsaan England, Grealish bijak meloloskan diri daripada pertahanan lawan dan meledak gol pada sudut sukar.

McGinn sekali lagi menjadi penggerak kepada gol kedua Villa ketika dia bergandingan baik dengan Hourihane yang bijak menghidu peluang melakukan jaringan.

Kelemahan benteng pertahanan sekali lagi membenarkan Mings mudah menolak masuk bola ke jaring berpunca daripada sepakan percuma tiga minit selepas babak kedua bermula.

Sekali pun Fulham cuba bangkit pada penghujung babak permainan namun jaringan mereka dinafikan VAR.

Bobby Decordova-Reid menghukum kesilapan dilakukan penjaga gol Villa, Emiliano Martinez pada penampilan kedua buat kelab itu selepas perpindahan dilaporkan £20 juta (RM107 juta) dari Arsenal.

Bagaimanapun, jaringan itu tidak dibenarkan selepas Aleksandar Mitrovic dipersalahkan kerana melakukan kekasaran ke atas Ezri Konsa selepas tayangan semula VAR.

Kemenangan itu membolehkan Villa berada di tangga keempat dan menyamai enam mata dengan Arsenal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 8:39 AM