PESURUHJAYA Sukan, Dr Wirdati (kanan) menerima cenderahati daripada Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin  selepas berakhir Majlis Penutup Seminar Tadbir Urus Badan Sukan Yang Cekap dan Berkesan di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, semalam. FOTO MALIK MUHAMAD
PESURUHJAYA Sukan, Dr Wirdati (kanan) menerima cenderahati daripada Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin selepas berakhir Majlis Penutup Seminar Tadbir Urus Badan Sukan Yang Cekap dan Berkesan di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, semalam. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) adalah model dan contoh pembangunan serta pengurusan sukan terbaik di negara ini.

Demikian reaksi Pesuruhjaya Sukan Kementerian Belia dan Sukan, Dr Wirdati Mohd Radzi.

Beliau berkata ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penutup Seminar Tadbir Urus Badan Sukan Yang Cekap dan Berkesan Negeri Terengganu, di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak semalam yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Pembangunan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abd Karim dan Timbalan Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya.

Dr Wirdati berkata, kejayaan Terengganu melahirkan ramai atlet terbaik negara sehingga menjadi kuasa sukan negara sebagaimana dalam Sukan Malaysia (Sukma) adalah bukti pengurusan pembangunan sukan terbaik yang diuruskan MSNT.

Katanya, pengetahuan tentang pengurusan sukan adalah satu elemen penting dalam meningkatkan kecemerlangan bidang sukan selain penyelidikan dan kerjasama dengan pihak luar seperti Institusi Pengajian Tinggi awam (IPTA).

"Pencapaian persatuan sukan di negeri ini begitu aktif dan membanggakan sehingga menjadi kuasa sukan negara apatah lagi dengan adanya kerjasama pendidikan dengan IPTA.

"Jika kita lihat komitmen yang tinggi MSNT dan kerjasama bersama tiga sektor dalam ekosistem sukan iaitu NGO, persatuan sukan dan IPTA, ia tidak berlaku di tempat lain.

"Ingin saya nyatakan begitu bangga dengan MSNT sebagai perintis perkara ini berlaku, ini jelas hasil kepimpinan majlis sukan itu yang mempunyai wawasan dan hasrat ini kita kuatkan lagi di peringkat kerajaan persekutuan, saya teruja dan gembira kerana ia dapat mencungkil ramai atlet elit selain penganjuran yang mantap untuk kecemerlangan sukan negara.

"Jadi MSNT adalah contoh terbaik perkembangan sukan di negara ini dan boleh dijadikan model kepada negeri lain terutama berkaitan pengurusan serta tadbir urus yang cekap, fasiliti dan impaknya kejayaan atlet yang sangat membanggakan.

"Ini adalah rangka lawatan pertama pihak pesuruhjaya sukan untuk melihat dan membantu serta memperkasakan badan-badan sukan di negara ini, selepas ini kita akan ada siri lawatan di negeri lain pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 5:36 PM