HAMILTON sebelum ini menuduh F1 sengaja menghalangnya untuk muncul juara. FOTO AFP
HAMILTON sebelum ini menuduh F1 sengaja menghalangnya untuk muncul juara. FOTO AFP
AFP

London: Lewis Hamilton mengemukakan permohonan maaf selepas mendakwa bos Formula Satu (F1) sengaja mahu melihat dia gagal memenangi perlumbaan selepas dikenakan penalti 10 saat di Grand Prix (GP) Russia.

Hamilton diletakkan harapan untuk menyamai rekod Michael Schumacher meraih kejuaraan ke-91 di Sochi Ahad lalu namun ia digagalkan dengan dia dikenakan dua penalti lima saat kerana kesalahan yang dilakukan sebelum perlumbaan.

Dia juga sebelum itu dikenakan dua mata penalti oleh steward perlumbaan namun ia dibatalkan sebaliknya dikenakan kepada pasukannya, Mercedes.

Juara dunia enam kali itu mendakwa bahawa badan induk F1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), cuba mencari jalan lain untuk menghalangnya daripada meraih kejuaraan.

Bagaimanapun, dalam media sosial Hamilton mengakui dia mungkin tidak melakukan tindakan yang tepat jika berdepan dengan kesulitan.

"Saya mungkin tidak bertindak balas seperti yang anda mahukan apabila berada dalam keadaan genting namun saya juga manusia dan sentiasa teruja dengan apa yang saya lakukan.

"Saya sentiasa belajar dan biarlah perkara ini memberi pengajaran. Saya akan sentiasa berusahan untuk perlumbaan seterusnya. Terima kasiha kepada siapa yang sentiasa terus menyokong saya," katanya.

Hamilton sekarang ini perlu menunggu untuk sekurang-kurangnya di GP Eifel pada 11 Oktober untuk menyamai rekod sepanjang zaman Schumacher.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 12:20 AM