SYARUL Azman bergelut untuk mendapatkan penajaan berikutan keadaan yang terjejas dengan Covid-19. FOTO OSMAN ADNAN
SYARUL Azman bergelut untuk mendapatkan penajaan berikutan keadaan yang terjejas dengan Covid-19. FOTO OSMAN ADNAN
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tahun yang suram buat jaguh bina badan negara Syarul Azman Mahen Abdullah yang amat terkesan dengan penularan Covid-19 yang mengancam dunia apabila tiada langsung penyertaan yang dapat disertainya tahun ini.

Impiannya untuk mempertahankan gelaran juara dunia buat kali keempat dan juara Asia buat kali kelima juga tidak dapat direalisasikan apabila kedua-dua pertandingan itu dibatalkan.

Malah, dia yang meraih gelaran Mr Universe itu juga bergelut untuk mendapatkan penajaan berikutan keadaan yang terjejas dengan Covid-19.

Namun atlet berusia 45 tahun itu tidak pernah mengalah dan tetap meneruskan latihan seperti biasa bagi mengekalkan bentuk tubuhnya kerana masih ada misi yang perlu dilunaskan olehnya tahun depan.

Tegas Syarul atau juga dikenali sebagai Mike, dia menaruh harapan yang tinggi untuk merangkul pingat emas buat negara di temasya Sukan SEA Vietnam apabila dikhabarkan penganjur temasya akan menyenaraikan acara itu.

"Saya sasaran tiga kejohanan utama tahun depan. Pertama pertahankan kejuaraan di Kejohanan Dunia, Kejohanan Asia dan ketiga adalah Sukan SEA. Jika boleh saya nak sangat pingat temasya kerana ia satu-satu pingat yang belum pernah saya dapat.

"Biarpun semua kejohanan itu berlangsung tahun depan, persediaan perlu dilakukan daripada sekarang terutama persediaan beraksi di Sukan SEA nanti.

"Saya kena bersedia dari segi fizikal dan mental. Justeru jika boleh saya mohon untuk sumbangan dari segi penajaan kerana persiapan untuk membina tubuh ini memerlukan kos yang tinggi. Bukan hanya bergantung pada protein tapi juga memerlukan makanan tambahan yang lain," katanya yang kali terakhir menyertai kejohanan adalah di Kejohanan Dunia di Jeju, Korea Selatan hujung tahun lalu.

Tegas Mike, ketika ini dia terpaksa menanggung semua kos perbelanjaan sendiri termasuk daripada penyediaan makanan dan penggunaan gimnasium.

Mike muncul juara dunia sebanyak empat kali berturut-turut bermula dari 2016 hingga 2019. Beraksi dalam kategori bawah 70 kilogram, atlet negara itu juga berjaya menakluk Asia sebanyak lima kali bermula dari 2015 hingga 2019.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 12:48 AM