BERNHARDT (duduk) mahu UiTM FC terus catatkan kemenangan. FOTO MUHAMMAD ASYRAF SAWAL
BERNHARDT (duduk) mahu UiTM FC terus catatkan kemenangan. FOTO MUHAMMAD ASYRAF SAWAL
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: UiTM FC berpeluang melakar sejarah baharu bola sepak negara dengan muncul pasukan bertaraf Universiti pertama menamatkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) di tangga kedua dan itu yang akan cuba dilakukan oleh anak buah Frank Bernhardt itu.

Seperti sebuah cerita dongeng yang kini bertukar realiti, skuad The Lions Troops turut dihidangkan peluang keemasan untuk beraksi di pentas tertinggi Asia dalam saingan Piala AFC pada musim depan seandainya berjaya menamatkan kempen liga sebagai naib juara.

Begitupun bagi Bernhardt, laluan skuad kendaliannya bukan mudah meskipun bakal berdepan dua pasukan bawahan liga yang dilihat boleh menjadi pengacau untuk meraih enam mata maksimum.

Katanya, Petaling Jaya City (PJ City) dan Sabah yang akan ditentang pada Jumaat ini dan 10 Oktober depan turut mengidamkan kemenangan dalam memastikan mereka terus kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

"Semua mahukan yang terbaik dan cuba cipta sejarah dalam setiap pertandingan. UiTM FC pada musim ini sudah banyak melakukan kejutan dan cipta sejarah dengan menewaskan beberapa pasukan besar sebelum ini.

"Tapi kita akan cuba dapatkan enam mata dalam dua baki ini. Namun ia bukan mudah kerana mereka (PJ City dan Saba) juga mahukan kemenangan.

"Mereka nak kekal di liga manakala kita cuba cipta sesuatu. Jadi kita akan berikan terbaik dan lepas itu kita tengok apa yang akan jadi," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menerusi laporan muka belakang Arena Metro semalam, pemerhati bola sepak tempatan memberi amaran kepada dua pasukan iaitu Perak dan Kedah supaya berjaga-jaga kerana UiTM FC boleh menamatkan saingan di tangga kedua seandainya dua pasukan elit negara itu tercicir mata dalam baki aksi bermula minggu ini.

Ketika ini, Perak menghuni tempat kedua di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT) yang hampir pasti menjulang trofi buat kali ketujuh berturut-turut.

JDT menghimpun 23 mata, diikuti Perak 17 mata manakala Kedah di tangga ketiga dengan 16 mata sementara UiTM 14 mata.

Jelas Bernhardt lagi, motivasi pemain kini berada pada tahap terbaik dan beliau mahu momentum kemenangan di teruskan.

"Semangat pemain saya cukup kuat. Kami akan berjuang hingga tamat liga musim ini dan fokus adalah raih mata penuh," kata bekas pengendali skuad B-22 tahua negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 12:55 AM