KEPA kini penjaga gol kedua Chelsea. FOTO AFP
KEPA kini penjaga gol kedua Chelsea. FOTO AFP
Agensi

London: Tiada kelab yang sudi mengambil Kepa Arrizabalaga secara pinjaman dengan Chelsea membazirkan £5 juta (RM26.82 juta) hanya untuk membayar penjaga gol itu duduk di bangku simpanan.

Penjaga gol Sepanyol itu disisihkan di Stamford Bridge susulan beberapa siri kesilapan memalukan yang memaksa kelab menandatangani Edouard Mendy untuk menjadi penjaga gol utama.

Pengarah, Marina Granovskaia enggan menanggung kerugian selepas membayar dengan harga rekod dunia £71 juta (RM380 juta) untuk mendapatkan Kepa dua tahun lalu namun tiada kelab di Eropah mampu mengambilnya dari Chelsea.

Dengan harga ditetapkan hampir £60 juta (RM321 juta), sukar mendapatkan pembeli yang berminat dengan pemain berusia 25 tahun itu dan kini Blues sedia mencari kelab yang sudi mengambilnya secara pinjaman.

Bagaimanapun, ketika bola sepak Eropah terjejas teruk angkara pandemik Covid-19, tiada kelab sanggup berbuat demikian dengan mereka perlu membayar Kepa gaji £150,000 (RM804,532) seminggu.

Satu-satunya cara realistik untuk membolehkan dia meninggalkan kelab sebelum tamat jendela perpindahan pada Isnin depan ialah persetujuan membayar separuh daripada gajinya sekarang.

Bagaimanapun, ia tetap tampak sukar menarik minat kelab lain dengan Chelsea akan terus terikat dengan Kepa sehingga akhir musim dan membayar £5 juta (RM26.82 juta) hanya untuk menjadi penjaga gol simpanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 12:49 PM