SUZUKI (kanan) terpaksa diketepikan sehingga akhir musim.
SUZUKI (kanan) terpaksa diketepikan sehingga akhir musim.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kemenangan ke atas Kelantan 3-2 Ahad lalu terpaksa dibayar dengan harga tinggi oleh Terengganu FC II (TFC II) apabila tidak dapat menggunakan khidmat kapten yang juga penyerang utamanya, Bruno Suzuki hingga tamat musim ini berikutan kecederaan dialaminya.

Malah lebih merisaukan pengendalinya, Roshadi Wahab apabila tidak dapat menurunkan tonggak pertahanan import, Argzim Redzovic berdepan Sarawak United di Stadium Negeri, malam esok kerana pemain kelahiran Montenegro itu bakal beraksi bersama pasukan 'abang' Terengganu FC (TFC) selepas pertahanan TFC, Babacar Diallo masih dibelenggu kecederaan.

Justeru, bekas pertahanan Terengganu itu tiada pilihan melainkan bakal melakukan rombakan bagi menyaingi kekuatan pasukan lawan sambil meletakkan harapan tinggi pemain yang bakal menggalas tugas di posisi itu mampu beraksi dengan baik.

"Kita mahu meneruskan rentak kemenangan dengan berbaki dua perlawanan lagi bertemu Sarawak United dan terakhir pendahulu Liga Perdana, Pulau Pinang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

"Jadi kemenangan memang diharapkan dalam dua perlawanan itu, tapi dengan perkembangan terbaharu ini iaitu Suzuki tidak dapat diturunkan kerana kecederaan hamstring ketika bertembung dengan penjaga gol Kelantan, Ahad lalu sudah pasti satu cabaran kepada kem pasukan bertemu Sarawak malam esok.

"Malah kami juga tidak dapat menggunakan khidmat pemain pertahanan, Redzovic, situasi ini sudah pasti menambah kebimbangan kami terutama untuk menghalang bola tinggi selain 'set-piece' pasukan lawan.

"Kami tiada pilihan kecuali akan melakukan rombakan pemain dengan menggunakan tenaga tempatan sedia ada kerana misi kita adalah tiga mata walaupun bertandang ke stadium lawan.

"Saya harap pemain yang bakal disenaraikan dalam kesebelasan utama nanti perlu buktikan corak permainan mereka bagi memastikan kita tidak pulang dengan tangan kosong," katanya.

Berdasarkan kedudukan terkini, skuad The Turtles yang turut dibantu bekas legenda Terengganu, Sapian Wahid kini menghuni di tangga ketiga liga dengan mengutip 16 mata hasil sembilan perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 3:29 PM