FAIZAL (kanan) dan Fitri dipanggil semula oleh Arul ke dalam skuad kebangsaan. FOTO NSTP
FAIZAL (kanan) dan Fitri dipanggil semula oleh Arul ke dalam skuad kebangsaan. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Seramai 38 pemain dipanggil menyertai kem latihan pemilihan pasukan hoki lelaki kebangsaan dengan beberapa nama besar seperti pasangan adik beradik Faizal dan Fitri Saari kembali disenaraikan semula oleh ketua jurulatih baharu, Arul Selvaraj.

Menurut Arul, penyerang prolifik itu sudah menepati kriteria diletakkannya selain pemain berkenaan sudah bersedia 100 peratus untuk kembali menyarung jersi kebangsaan.

"Daripada pengalaman bersamanya sebelum ini, saya tidak mempunyai masalah dengannya. Sudah tentu, saya menerima maklumbalas daripada pegawai, pemain dan juga media," katanya selepas sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Ujar Arul, beliau berada dalam posisi di mana perlu membuat keputusan dan keputusan itu berdasarkan prestasi serta juga beberapa perbincangan dengan Faizal.

"Mesej yang saya terima, dia lebih daripada 100 peratus mahu kembali dan bermain untuk negara. Di atas padang pun, dia menunjukkan sikap yang baik. Mesej saya kepadanya, keinginan adalah satu perkara tetapi prestasi adalah satu bahagian lain.

"Kita boleh berada di sini dan ingin bermain untuk Malaysia tetapi sekiranya tidak berusaha, kamu tidak akan dipilih. Keduanya, jangan bergantung kepada bakat semata-mata. Apabila berharap kepada bakat saja, ia tidak akan membuahkan hasil," katanya yang juga bekas pemain kebangsaan.

Jelasnya, untuk menjadi atlet yang berjaya di peringkat elit, bakat dan usaha gigih akan membuahkan hasil diinginkan dan beliau berpendapat Faizal sudah melakukan kedua-duanya.

Faizal dan Fitri adalah antara 13 nama yang dimasukkan dalam senarai pemain muka baharu dan yang pernah digugurkan sebelum ini dan kesemua peserta kem dijadual memulakan sesi latihan dari 5 Oktober hingga 19 Disember ini.

Kesemua mereka akan dinilai tahap prestasi dalam tempoh berkenaan dan barisan kejurulatihan bakal mengurangkan jumlah kepada 25 pemain bagi menggalas tugas dalam skuad kebangsaan menjelang Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Dhaka, Bangladesh dari 11 hingga 19 Mac tahun depan.

Daripada senarai berkenaan, lima penjaga gol, 11 pemain pertahanan, 13 pemain tengah dan sembilan daripadanya adalah pemain di posisi penyerang yang dinilai pengendali Arul di Kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2020, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 8:38 PM