MARADONA (kiri) bersama anak lelakinya menyaksikan perlawanan di stadium. FOTO Agensi
MARADONA (kiri) bersama anak lelakinya menyaksikan perlawanan di stadium. FOTO Agensi
Agensi

San Lorenzo: Diego Maradona menyaksikan skuad bimbingannya Gimnasia bertemu San Lorenzo dengan memakai pelindung muka yang besar.

Legenda Argentina berusia 59 tahun itu dilihat tiba di stadium untuk menyaksikan perlawanan persahabatan membabitkan skuad bimbingannya dengan mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan bagi menangani pandemik Covid-19.

Maradona memakai pelindung muka yang menutupi keseluruhan mukanya bersama anak lelakinya berusia tujuh tahun, Diego Fernando.

Dia turut mencuci kedua-dua tangannya dengan alkohol untuk kekal selamat di tempat duduk pemain.

Bekas bintang Argentina itu baru-baru ini mendedahkan bercadang untuk menyaman Netflix berkaitan dokumentari 'Tangan Tuhan'.

Maradona berkata, beliau tidak memberikan kebenaran kepada Netflix menggunakan gambarnya untuk filem yang akan diterbitkan itu dan diarahkan oleh pemenang Oscar yang juga penggiat filem Itali, Paolo Sorrentino.

Peguam legenda itu mendakwa: "Maradona tidak membenarkan menggunakan gambarnya untuk filem itu.

"Bersama dengan pasukan di Itali, kami kini sedang melakukan persiapan untuk melakukan aduan secara rasmi ke muka pengadilan."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 10:00 PM