SAFAWI bersama ibunya, Salemah (kiri) dan bapanya, Rasid Sulong di balai pelepasan KLIA sebelum berlepas  ke Portugal semalam bagi menyertai Liga Premier Portugal bersama kelab Portimonense FC. FOTO Saifullizan Tamadi
SAFAWI bersama ibunya, Salemah (kiri) dan bapanya, Rasid Sulong di balai pelepasan KLIA sebelum berlepas ke Portugal semalam bagi menyertai Liga Premier Portugal bersama kelab Portimonense FC. FOTO Saifullizan Tamadi
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemergian bintang bola sepak negara, Safawi Rasid ke Portugal pastinya menggamit 1000 kerinduan buat pemain sayap Harimau Malaya itu terutamanya menu kegemaran nasi dagang.

Abang Safawi, Ahmad Fariq berkata, adiknya yang akan menyertai kelab utama Liga Portugal, Portimonense SC selama semusim pasti merindui air tangan ibu mereka, Salemeh Abu Bakar yang pakar dalam menyediakan nasi dagang.

Katanya, menu itu adalah makanan kegemaran Safawi sejak kecil dan ibu kesayangan mereka sentiasa menyediakan juadah itu buat adiknya apabila bertemu.

Namun, dengan Safawi akan menetap agak lama di bumi Eropah, pemain berusia 23 tahun itu pasti merindui masakan ibu.

"Makanan kegemaran dia antaranya nasi dagang yang dimasak oleh ibu. Mungkin itu makanan yang akan dirinduinya.

"Perasaan keluarga ketika ini gembira bercampur sedih. Gembira itu kerana dia dapat bermain di sana, sedih itu kerana dia tinggalkan kita.

"Dalam keadaan sekarang ini (Covid-19) kita tidak tahu bila dia dapat balik. Beza sangat kali ini berbanding ketika dia bersama skuad negara atau JDT (Johor Darul Ta'zim). Lapan bulan iaitu satu musim dengan jarak yang jauh memang sangat berbeza," katanya.

Semalam Safawi berlepas ke Portugal untuk beraksi di Liga Premier bersama Portimonense SC secara pinjaman selama semusim.

Dia yang baru sahaja membantu skuad JDT menjuarai Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut Jumaat lalu, mengakui teruja dan bersedia membuktikan kemampuannya di bumi Eropah.

Menerusi kejayaannya itu, Safawi muncul pemain kedua negara yang beraksi di liga utama Eropah selepas penyerang muda sensasi, Luqman Hakim Shamsuddin menyertai KV Kortrijk di Belgium Ogos lalu.

Berita berkaitan:

  • Syifa Melvin beri sokongan Safawi ke Portugal
  • Safawi dipinjamkan semusim di Portimonense

  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 6:34 PM