CALVERT-Lewin banyak belajar daripada Ancelotti untuk menjadi penyerang berbisa. FOTO Agensi
CALVERT-Lewin banyak belajar daripada Ancelotti untuk menjadi penyerang berbisa. FOTO Agensi
AFP

London: Dominic Calvert-Lewin menjelaskan kehadiran Carlo Ancelotti di Everton adalah faktor utama membolehkannya memberikan persembahan cemerlang sehingga dipanggil menyertai skuad Englan buat pertama kali.

Pemain berusia 23 tahun itu setakat ini sudah meledakkan sembilan gol, termasuk dua hatrik, yang menyaksikan The Toffees berada di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) dan mara ke suku akhir Piala Liga.

"Carlo ternyata memberikan pengaruh positif buat saya. Mempunyai pengurus yang pernah bekerjasama dengan pemain hebat, penyerang terbaik dunia, adalah sangat baik buat saya. Dia memberi maklumat bahawa pernah melatih pemain tertentu jadi ia sangat penting untuk saya menjadikannya sebagai panduan.

"Dia mampu untuk mencorakkan permainan saya dan memberitahu supaya fokus kepada perkara lain serta menjadi pemain tumpuan. Dia memberitahu saya mempunyai kemampuan untuk menjadi sasaran utama dan mengetuai barisan serangan," kata Calvert-Lewin.

Bekas pengurus AC Milan, Real Madrid dan Chelsea itu memulakan tugas di Everton Disember lalu dan mendorong Calvert-Lewin supaya menjadi seperti salah seorang bekas pemainnya, penyerang prolifik Itali, Filippo Inzaghi.

Pemain berkenaan terkenal dengan digelar sebagai 'dilahirkan ofsaid' oleh bekas jurulatih Manchester United, Alex Ferguson, Inzaghi adalah salah seorang penyerang berbisa dengan menjaringkan lebih 200 gol buat Milan dan Juventus.

"Sebelum ini, saya sering dipersalahkan kerana bekerja keras tanpa menghasilkan jaringan. Sekarang saya perlu fokus untuk mencantumkan kedua-duanya dan kembali mencetak jaringan.

"Analogi Carlo adalah memberi lebih penekanan kepada berada di tempat yang betul pada waktu yang tepat, bukannya saya perlu meniru 100 peratus Pippo Inzaghi," katanya.

Calvert-Lewin berada pada landasan terbaik untuk melakukan penampilan sulung apabila England berdepan Wales dalam aksi persahabatan awal pagi Jumaat, selepas Gareth Southgate berjanji tidak akan menurunkan ketua pasukan, Harry Kane dalam semua aksi tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 7:52 AM