WACKERMANN (kiri) dan Van Empel terbabit dalam kemalangan yang berpunca daripada helikopter terbang rendah. FOTO Agensi
WACKERMANN (kiri) dan Van Empel terbabit dalam kemalangan yang berpunca daripada helikopter terbang rendah. FOTO Agensi
AFP

Villafranca Tirrena: Dua pelumba Giro d'Italia terjatuh daripada basikal masing-masing selepas terlanggar besi penghadang yang diterbangkan angin ketika di laluan lurus di tepi pantai.

Kemalangan itu berpunca daripada tiupan angin kuat dihasilkan oleh helikopter krew televisyen yang terbang rendah.

Pelumba Itali, Luca Wackermann tidak sedarkan diri dan di bawa ke hospital dengan ambulans, manakala Etienne van Empel pula mengalami luka di bahagian jari selepas kedua-duanya sedang menuju ke garisan penamat peringkat keempat di Sicily.

Penganjur perlumbaan, RCS berkata, helikopter berkenaan digunakan oleh stesen televisyen negeri, RAI.

Pengarah sukan pasukan Vini Zabu, Francesco Frassi berkata, kedua-dua pelumba mereka berada dalam keadaan stabil.

"Luca dibawa ke hospital oleh ambulans, dia tidak ingat apa yang berlaku," kata Frassi.

Penganjur perlumbaan berkata kedua-dua pelumba itu diberikan status berjaya menghabiskan perlumbaan dan mampu untuk beraksi di peringkat kelima.

Sementara itu, Van Empel melalui media sosial mengesahkan dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

"Saya okay, hanya luka kecil di bahagian jari. Saya tidak pasti apa yang berlaku tapi secara tiba-tiba penghadang itu terbang ke arah kumpulan kami. Sekarang saya hanya bimbangkan keadaan rakan sepasukan, Luca dan harap ada berita gembira," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 1:31 PM