Atlet Seni Bela Diri Campuran, S Murugan atau Wolverine. FOTO Agensi
Atlet Seni Bela Diri Campuran, S Murugan atau Wolverine. FOTO Agensi
BERNAMA

Kuala Lumpur: Atlet Seni Bela Diri Campuran (MMA) Malaysia, S Murugan bakal menghadapi cabaran hebat dalam aksi sulungnya di One Championship berdepan lawan yang berpengalaman Eko Roni Saputra, di Stadium Tertutup Singapura, Jumaat ini.

Bagaimanapun, atlet berusia 29 tahun itu melihatnya sebagai satu peluang menguji kemahiran dan membuktikan keberaniannya ketika perlawanan menentang lawan dari Indonesia itu dalam kategori "catchweight" (63.5kg) ONE: Reign of Dynasties.

Biarpun masih baharu, Murugan atau dikenali sebagai 'Wolverine' yakin untuk mengejutkan Eko, yang dalam usaha mendapatkan kejuaraan ketiga berturut-turut One Championship.

"Saya tahu ia tidak akan mudah tetapi saya teruja kerana ini merupakan satu peluang untuk menguji kemahiran saya. Buat penganjur untuk meletakkan saya di hadapan untuk bertarung dengan Eko, ini adalah satu pengiktirafan kepada keupayaan saya … saya akan membuatkan Malaysia bangga juga penyokong-penyokong saya.

Saya melakukan persiapan dengan baik untuk pertarungan ini bersama jurulatih serta pasukan saya, setiap hari tumpuan kepada latihan dan strategi perlawanan meningkat. Saya rasa sudah 100 peratus bersedia dari segi mental dan fizikal untuk pertarungan ini dan tiada yang dapat menghentikan saya," katanya.

Mengulas gaya beliau bertarung, Murugan memberi amaran kepada lawan mengenai kemampuannya melakukan serangan dari bawah.

"Saya boleh menyerang lawan saya dalam keadaan berdiri atau dari bawah sementara kelemahan saya ialah saya lambat panas. Lawan saya perlu berhati-hati bila menjatuhkan saya kerana saya mampu menyerang balik dari bawah dan membuat mereka menyerah kalah," katanya.

Tarikan utama pada Jumaat ini ialah perlawanan Kejohanan Muay Thai Dunia One Strawweight antara juara bertahan Sam-A Gaiyanghadao dan Josh "Timebomb" Tonna.

Semua enam perlawanan "One: Reign of Dynasties" berlangsung secara tertutup kerana pandemik COVID-19 dan akan disiarkan di lebih 150 negara menerusi saluran ONE's YouTube dan ONE Super App (sesetengah rantau tidak termasuk).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 9:23 PM