Ahmad Ismail (kiri) melontar bola kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Marican Naina Marican pada majlis perasmian STL baru-baru ini. FOTO Amirudin Sahib
Ahmad Ismail (kiri) melontar bola kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Marican Naina Marican pada majlis perasmian STL baru-baru ini. FOTO Amirudin Sahib
BERNAMA

Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menangguhkan semua kejohanan anjurannya, termasuk Sepak Takraw League (STL), STL Youth dan Piala Tun Dato' Seri Haji Ahmad Sarji Siri 1/2020 sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, langkah itu diambil berikutan seorang penumpang yang berada di dalam bas dinaiki seorang pegawai STL 2020 dua minggu lepas didapati positif Covid-19.

"Pegawai itu telah dikuarantin dan berada di bawah pemantauan Kementerian Kesihatan (KKM) … akan tetapi ramai juga peserta STL 2020 dan STL Youth yang mempunyai kontak rapat dengannya.

"Maka pengurusan STL, setelah berbincang dengan Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan penganjur, tidak sanggup dan tidak berani mengambil risiko," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tarikh baharu pertandingan akan ditetapkan selepas mendapat keputusan ujian saringan Covid-19 pegawai terbabit dan meminta semua pihak memberikan kerjasama dalam memerangi pandemik itu.

Sebanyak 11 perlawanan dijadualkan bermula hari ini sehingga Ahad di Stadium Titiwangsa bagi saingan minggu keempat dan terakhir dalam pusingan pertama STL 2020 manakala pusingan kedua sepatutnya berlangsung bermula 23 Oktober ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 8:56 PM