Kereta Bottas hampir memintas Hamilton pada pusingan awal Grand Prix Eifel di Jerman, Ahad lalu.
Kereta Bottas hampir memintas Hamilton pada pusingan awal Grand Prix Eifel di Jerman, Ahad lalu.
AFP

Nurburgring, Jerman: Valtteri Bottas mengakui dia memerlukan keajaiban untuk menyekat Lewis Hamilton mencipta rekod menjuarai perlumbaan dunia buat kali ketujuh.

Bottas mengakui akan memberi saingan sengit pada setiap perlumbaan dan tidak berhasrat mengaku kalah.

Pelumba Mercedes, yang terpaksa menarik diri pada pusingan ke-19 pada perlumbaan Grand Prix Eifel, Ahad lalu selepas berdepan masalah enjin, kini 69 mata di belakang rakan sepasukannya apabila menyaksikan juara enam kali itu menyamai rekod 91 kemenangan Michael Schumacher.

Valtteri Bottas (kiri) dan Lewis Hamilton bersaing sengit di litar perlumbaan. FOTO Agensi
Valtteri Bottas (kiri) dan Lewis Hamilton bersaing sengit di litar perlumbaan. FOTO Agensi

"Saya faham jarak antara Lewis kini agak besar dari segi mata," kata Bottas.

"Jadi, sudah pasti saya memerlukan keajaiban, tetapi, seperti biasa, tiada istilah menyerah kalah.

"Saya harus memastikan berada di kedudukan tertinggi dan terus berusaha... saya fikir ia adalah sasaran terbaik -- tiada guna lagi buat masa ini daripada terus membuat pengiraan untuk mengatasi Lewis kerana jurangnya sangat besar.

"Saya hanya perlu meletakkan sasaran setiap hujung minggu dan lakukan apa yang perlu untuk itu.

"Jadi bagi saya, tetapkan dalam minda sentiasa tidak putus asa. Ia masih berada dalam diri saya -- tiada peluang untuk mengalah. Semestinya, dalam beberapa bulan, kami akan lebih terbuka mengenai bagaimana perjalanan musim ini."

Dengan berbaki enam perlumbaan, bermula di Portugal dalam tempoh dua minggu lagi, Hamilton dilihat mempunyai peluang terbaik untuk merangkul kejuaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 1:46 PM